HANYA beberapa hari lagi Liga Malaysia bakal membuka tirai, sudah ada dan jelas kedengaran terdapat sebuah pasukan mula mengumpul ‘tunggakan ‘ gaji pemain-pemainnya.

Menurut sumber terdekat sebuah pasukan dari Pantai Timur yang beraksi dalam Liga Super, setakat hari ini gaji pemain pasukan itu masih ‘sangkut’ selama tiga bulan dan ada juga mencecah empat bulan.

“Pemain-pemain ini tidak tahu bagaimana untuk meminta daripada pihak pengurusan, dan terpaksa mengambil sikap tunggu. Apa yang lebih menyedihkan sikap ‘tunggu-tunggu’ itu memakan diri mereka sendiri.

“Pemain-pemain sendiri memberitahu saya mengenai masalah yang dihadapi mereka,” kongsi sumber tersebut yang enggan dikenali kepada FLASH SUKAN.

Pasukan yang menamatkan saingan agak cemerlang musim lalu itu juga sudah beberapa kali kedengaran berkaitan isu gaji, namun tiada pemain yang berani tampil berkongsi masalah tersbut.

“Pemain-pemain agak takut, namun ini periuk nasi mereka. Kalau dilihat persiapan musim ini, semuanya baik-baik belaka dan tiada masalah. Hanya mereka sahaja yang tahu…,” tambahnya.

Masalah gaji atau tunggakan gaji bukanlah perkara baharu dalam Liga Malaysia, setiap tahun berdepan dengan ‘krisis kewangan’ pasukan, cuma apa yang berlaku ini adalah ‘masih awal’ memandangkan Liga Malaysia bakal dimulakan dengan Piala Sumbangsih pada 10 Mei  (Johor Darul Ta’zim bertemu Selangor FC) ini.

Manakala pada 11 Mei ini perlawanan pertama Liga Super di antara Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim, PDRM FC lawan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC bertemu Perak FC.