BIARPUN masih terlalu awal, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tampil berani, menetapkan sasaran pingat emas di Paris 2024, sekali gus menjadi persatuan sukan pertama mengumumkan sasaran pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula Julai ini.
Menurutnya, sasaran emas itu selari dengan impian jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang sebelum ini menyatakan hasrat mengakhiri penyertaan di temasya berkenaan dengan kilauan emas.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, sasaran itu terbit dari aspirasi disuarakan Azizulhasni yang sebelum ini pernah memenangi gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.
“Saya rasa kita semua tahu aspirasi Azizulhasni untuk Sukan Olimpik Paris. Baru-baru ini, dia mengatakan semua orang tahu apa yang dia mahukan di Paris nanti. Dia sudah memenangi gangsa di Rio, kemudian perak di Tokyo… jadi satu-satunya yang belum diraih adalah emas.
“Saya sudah berbincang dengan jurulatih, John Beasley dan berdasarkan aspirasi Azizulhasni sendiri, PKBM menyasarkan satu emas dalam sukan basikal trek di Sukan Olimpik Paris,” kata Amarjit selepas majlis ramah mesra bersama media.
Menurutnya, sasaran emas itu realistik ditambah pula The Pocket Rocketman berada pada kondisi terbaik ketika ini.
Ujar beliau, sasasran PKBM itu akan dibentangkan kepada Majis Olimpik Malaysia (MOM), dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam tempoh terdekat.
“Seperti yang berlaku di Tokyo, ia adalah percaturan luar biasa daripada Jason (Kenny) (Great Britain) sehingga membuka ruang besar antara pelumba lain dan teknik dimainkan itu menyebabkan kita terlepas emas.
“Apapun semuanya bergantung pada hari pertandingan sebenar nanti. Harap beliau akan berada dalam keadaan yang baik, tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini seperti pelanggaran an sebagainya ketika perlumbaan nanti,” katanya.
Artikel Berkaitan:
Hanya kilauan pingat emas di fikiran Azizulhasni
PKBM mempertaruh tiga pelumba trek di Olimpik Paris 2024, iaitu Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Pada 26 April lalu, Flash Sukan melaporkan Azizulhasni hanyna menetapkan sasaran pingat emas but dirinya di Temasya Paris nanti.
Menurut pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu, keberadaannya dalam program Road to Gold (RTG) juga, meletakkan barisan atlet di bawah program terbabit untuk menyasarkan pingat emas.