SELEPAS The Speedy Tigers berjaya menumpaskan Kanada 6-2, fokus mereka kini akan terarah kepada pasukan ranking tertinggi dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2024, New Zealand.
Biarpun New Zealand dikejutkan dengan kekalahan mereka kepada pasukan ranking ke-16 dunia, Jepun dengan keputusan 1-4, namun pasukan Malaysia tetap berwaspada dengan kebangkitan yang dijangka bakal berlaku.
Mengimbas kembali rekod pertemuan bersama New Zealand dalam lima pertembungan akhir di pentas kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia hanya menang sekali iaitu pada edisi tahun 2013 dengan kemenangan 2-1.
Malaysia juga berjaya mengalahkan New Zealand ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dengan keputusan 3-2 ketika Piala Dunia Hoki 2023 sedang berlangsung di India.
Namun, kali ini merupakan situasi yang berbeza buat The Speedy Tigers menampilkan majoriti pemain muda untuk bermain dalam pasukan kebangsaan.
“Saya menjangkakan satu perlawanan yang sukar apabila bertemu New Zealand tetapi ia satu peluang yang baik untuk pemain kami bermain dalam perlawanan seperti ini.
“Bagi kami, perlawanan ini adalah satu pembelajaran untuk kita bergerak ke hadapan dan saya berharap kita dapat menjadi lebih baik.
“Kami perlu memperkemaskan benteng pertahanan kerana pada perlawanan semalam (menentang Kanada), kami nampak agak lemah di bahagian itu.
“Saya rasa mereka (New Zealand) memiliki sebuah pasukan yang bagus dan sempurna. Mereka akan berterusan melakukan tekanan kepada kita dan ia akan menjadi satu perlawanan sangat sukar untuk kami dan tidak mudah.
“Tetapi ia juga satu perlawanan cukup bagus kepada pemain-pemain kerana kami masih dalam proses membentuk pasukan ke arah yang lebih baik.
“Ia juga bukan masa yang sesuai untuk kami menentang mereka. Jepun baharu saja menang 4-1 ke atas New Zealand dan kini giliran kita bertemu mereka pada perlawanan seterusnya, jadi ia akan menyukarkan,” kata Sarjit.
Susulan kemenangan ke atas Kanada, pasukan hoki lelaki Malaysia kembali berada di tangga ke-13 dunia dalam Ranking Dunia FIH terbaru yang dikeluarkan, selepas turun pada kedudukan ke-14 dunia ketika tewas kepada Pakistan, Sabtu lalu.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan hoki New Zealand, Greg Nicol bersedia untuk menutup mulut penyokong-penyokong Malaysia yang hadir ke stadium.
Namun, Nicol mengakui jentera serangan Malaysia sangat berbahaya dan mereka tidak boleh diberikan ruang terlalu besar.
“Akan menjadi perlawanan yang menghiburkan…ramai penyokong tuan rumah akan hadir dan kami akan membuat mereka diam.
Malaysia akan bertemu New Zealand untuk aksi ketiga pada Selasa, 8.30 malam.