SKUAD bola jaring Selangor Angels hanya mensasarkan kemenangan apabila bertemu juara bertahan, KL Wildcats dalam aksi separuh akhir Netball Super League (NSL) yang akan berlangsung pada Sabtu.

Selangor Angels berjaya menamatkan pusingan round robin di tangga ketiga dengan lima kemenangan dan mereka pastinya mahu menebus kekalahan kepada Wildcats sebelum ini.

Kapten pasukan, Yati Akhtar berharap agar pasukannya dapat mengurangkan kesilapan serta dapat menghasilkan jaringan bagi setiap percubaan yang dilakukan dan perkara ini dititikberatkan di dalam latihan pasukan.

 

“Harapan kami adalah untuk meminimumkan kesilapan kami dan juga akan memastikan kami berjaya menghasilkan jaringan bagi setiap hantaran tengah dan juga ‘turnovers’.

“Persiapan kami berjalan lancar dengan kami sempat adakan latihan pasukan pada hari Selasa dan Khamis untuk mendapatkan lebih keserasian gandingan antara pemain.

“Kami mensasarkan untuk memenangi separuh akhir ini walaupun hanya berbeza satu mata dan layak ke final,” katanya yang ditemubual secara eksklusif oleh FLASH SUKAN.

Harapan ketua pasukan ini turut disokong Goal Shooter (GS) Angels, Aminah Ahmad yang cemerlang di peringkat round robin dengan dia ingin membantu pasukan ke final dan juga mempunyai balingan yang konsisten sepanjang perlawanan.

“Saya harap saya dapat membantu pasukan melangkah ke final dan berjuang hingga ke akhir. Saya juga akan menumpukan pada balingan dan berharap dapat mengekalkan konsistensi balingan sehingga wisel penamat,” katanya yang muncul antara GS terbaik NSL musim ini.

Pada perlawanan round robin lalu, Angels tewas kepada Wildcats 40-55 dalam satu aksi yang cukup sengit dan pastinya Angels akan cuba melakukan kejutan dan layak ke final.