“SAYA sangat terkejut dan tidak sangka,” luah salah seorang keluarga terdekat Faisal Halim selepas mendapat perkhabaran duka mengenai pemain bola sepak kebangsaan itu yang terbabit dalam kejadian disimbah asid petang Ahad.
Beliau berkongsi kepada FLASH SUKAN, bahawa dia baharu sahaja tiba di Shah Alam awal pagi ini dan telah melawat Faisal sebentar tadi.
“Kita sangat terkejut apabila dapat tahu mengenai kejadian ini. Tak sangka Faisal kena seperti ini.
“Kami terus bergegas dari Pulau Pinang dan sampai sini kira-kira jam 3 pagi tadi. Kami tidak sempat berjumpa dengan Faisal sebelum pembedahannya malam tadi.
“Ketika berjumpa dengannya tadi, kita pun tak mahu masuk dalam keadaan sedih, nanti dia lagi sedih,” ujarnya.
Sepanjang membuat tinjauan, FLASH SUKAN turut melihat beberapa ahli keluarga terdekat yang lain juga telah tiba di hospital untuk sama-sama memberi semangat kepada bintang bola sepak negara itu.
Pada kejadian mengejutkan semalam, Faisal bersama keluarganya berada di sebuah pusat membeli-belah dan didatangi individu yang tidak dikenali sebelum menyimbah cecair yang dipercayai asid ke arahnya.
Malah pagi ini (Isnin), dimaklumkan suspek kejadian telah ditangkap pihak berkuasa.
Stay strong Mickey!