SEMUA 13 pasukan Liga Super serta badan pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) dan badan pentadbir bola sepak, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan solidariti terhadap apa yang menimpa Akhyar Rashid dan Faisal Halim.

Sokongan ini disuarakan menerusi hantaran di media sosial rasmi kelab masing-masing yang nyata bersimpati dengan musibah yang melanda dua pemain kebangsaan itu.

Terengganu FC dan Selangor FC masing-masing mengeluarkan kenyataan media menyatakan apa yang berlaku kepada pemain mereka dan segera mendapat perhatian pemain industri dan juga para penyokong.

Johor Darul Ta’zim secara teknikalnya muncul pasukan pertama bersolidariti apabila pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail mengecam tindakan khianat yang dilakukan dan diikuti dengan kelab-kelab lain yang turut sama berdukacita.

PDRM FC tampil dengan video ucapan daripada Bruno Suzuki yang mewakili kesemua rakan sepasukan dan para pemain menunjukkan angka tujuh sebagai tanda nombor jersi yang dipakai oleh Faisal Halim.

Ketika kesemua pasukan sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi aksi pembukaan liga pada 11 dan 12 Mei, siri serangan melibatkan dua pemain ini menjadikan suasana latihan sedikit sugul dan tidak ceria seperti kebiasaan.

Liga Malaysia 2024-25 akan bermula pada 10 Mei dengan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC dengan peningkatan keselamatan para pemain telah dilakukan oleh semua pasukan.