PASUKAN bola jaring Pahang Tulips sedia melakukan kejutan apabila turun berhadapan pasukan pilihan, Johor Jewels dalam saingan separuh akhir Netball Super League (NSL) Sabtu ini.

Tulips yang dibarisi pemain muda Pahang menggunakan platform NSL sebagai medan persediaan ke Sukan Malaysia berjaya mencapai sasaran untuk menempatkan diri di kedudukan empat teratas ketika pusingan round robin.

Jurulatih Pahang Tulips, Hapizah Jaafar berkata perlawanan menentang Jewels hujung minggu ini adalah cabaran yang besar buat pasukannya tetapi tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya.

 

Dia juga gembira kerana Tulips berjaya mencapai sasaran empat terbaik sekaligus menjadikan pemainnya lebih bersemangat untuk mempamerkan aksi yang lebih baik.

“Cabaran besar sememangnya menanti pasukan Pahang Tulips apabila dijadualkan untuk bertemu Johor Jewels dalam laluan untuk ke final tetapi kami akan berjuang dengan lebih baik berbanding pertemuan sebelum ini di peringkat round robin.

“Saya berbangga Tulips berjaya menjadi empat pasukan teratas dan ianya akan memberikan lebih semangat buat para pemain untuk memberi saingan sengit kepada pihak lawan,” jelasnya dalam temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.

Keyakinan pengendali Tulips ini turut dikongsi Goal Shooter (GS) utama Tulips, Maisarah Affandi yang turut yakin mampu membuat kejutan pada separuh akhir nanti.

Maisarah yang berusia 20 tahun juga mahu menambah baik dan memperbaiki mutu permainan meskipun muncul sebagai salah seorang GS terbaik dengan purata balingan yang tinggi.

“Kami yakin akan memberikan saingan kepada Johor Jewels kerana kami telah menyaksikan beberapa perlawanan Jewels dan kami sudah menyusun strategi yang baik pada separuh akhir nanti.

“Saya merancang untuk menambah baik dan memperbaiki persembahan saya pada pertandingan yang akan datang terutama di Sukan Malaysia kerana saya ingin menempatkan diri saya dalam pasukan senior kebangsaan,” katanya.

Walaupun bermula perlahan, Tulips berjaya mencatatkan kemenangan demi kemenangan sebelum berjaya meraih tempat keempat sekaligus layak ke peringkat separuh akhir.