TIADA yang mustahil untuk Malaysia merangkul tiga kejuaraan pada kempen Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, 18 hingga 26 Mei ini.

Demikian menurut pemain sepak takraw kebangsaan, Muhammad Syahir Rosdi yang yakin dengan persiapan skuad negara sepanjang latihan fasa akhir menjelang tirai kejohanan dibuka.

Namun, dia mengakui, keyakinan yang dizahirkan itu tidak bermaksud menafikan kekuatan seteru utama, Thailand.

“Untuk cabaran Piala Dunia ini, semua negara membuat persiapan terbaik untuk datang ke sini. Kami sebagai pasukan tuan rumah pasti ada sedikit tekanan, tetapi sebagai pemain kami sedia memberi tentangan sengit.

“Harapan kami di Piala Dunia ini adalah dapat menewaskan Thailand dan kalau boleh dalam ketiga-tiga acara iaitu berpasukan, regu dan double,” katanya.

Syahir Rosdi yakin pemain sepak takraw negara ada kemampuan atasi Thailand pada Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024.(Foto Akma / Flash Sukan)

Pada kempen Piala Dunia nanti, Syahir bersama Muhammad Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam, Shahalril Aiman Halim dan Azlan Alias dalam acara regu,  yakin peraturan baharu 15 mata dengan satu servis itu akan memberi kelebihan kepada mereka untuk mengatasi Thailand.

“Peraturan baharu itu memberi kelebihan kepada semua negara bertanding terutamanya dari segi pertahanan dan servis… jadi, saya rasa tidak mustahil kita mampu membenam Thailand.

“Misi kami cuma satu ialah nak menang Piala Dunia kerana pada edisi kali pertama ini, boleh dikatakan penganjuran terbesar di anjurkan di Malaysia kerana ada trofi dalam acara berpasukan,” ujar Syahir yang membuat penampilan ketiga di Piala Dunia sejak 2018 di India dan 2022 di Korea Selatan.

Malaysia berjaya mengelak bertemu Thailand di pusingan awal, dalam ketiga-tiga acara, double, regu dan berpasukan pada kempen Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024.

Skuad negara berada dalam Kumpulan A bersama Jepun serta Brunei dan kedua-dua pasukan itu turut bakal ditemui Malaysia dalam acara berpasukan di Kumpulan C.

Dalam acara regu pula, Malaysia yang muncul naib juara pada Piala Dunia 2022 di Korea Selatan, diletakkan selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan B bersama-sama China serta Brunei.