PENGURUSAN kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta memutuskan untuk tidak menyertai Kejohanan Shopee Cup 2024-25 kerana mahu meletakkan fokus kepada keputusan yang lebih baik di Liga 1 musim hadapan serta kejohanan domestik yang lain.
Shopee Cup yang akan menemukan juara-juara kelab Asean memberikan dua slot kepada Indonesia dengan Persija dan PSM Makassar sebagai juara liga musim 2022-2023 dipilih oleh Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).
Presiden Persija, Mohamad Prapanca menjelaskan pengurusan telah mengambil keputusan yang sukar tetapi ianya perlu dilakukan kerana pasukan mahu meletakkan fokus kepada pertandingan domestik musim hadapan.
Ini kerana mereka tidak mahu skuad Macan Kemayoran mendapat keputusan yang tidak baik seperti di musim 2023-24 di mana kelab Jakarta itu terpaksa berjuang dari diturunkan liga sebelum menamatkan saingan di tangga kelapan
“Satu penghormatan bagi Persija untuk mendapat undangan untuk beraksi di Shopee Cup. Namun, kami menilai situasi saat ini tidak ideal kerana ketidakpastian jadual sama ada di peringkat antarabangsa mahupun di peringkat domestik.
“Kami harus menyusun kekuatan pasukan untuk memperbaiki prestasi di Liga 1 2024-25 dan bersedia mengikuti kejohanan domestik yang dikatakan akan berlangsung serentak bersama-sama Shopee Cup itu,” katanya.
Shopee Cup akan menyaksikan penyertaan kelab-kelab dari Asia Tenggara melibatkan dua kelab dari Vietnam, Malaysia, Indonesia dan Thailand manakala Filipina dan Singapura mendapat satu slot.
Sementara kelab Brunei Darussalam, Kemboja, Laos dan Myanmar perlu melalui perlawanan playoff terlebih dulu dengan undian rasmi kejohanan akan berlangsung pada 9 Mei di Ho Chi Minh City, Vietnam.