PERLU ada semangat juang, semangat jati diri dan kebanggaan untuk mencapai kejuaraan di bumi sendiri.
Itulah pesanan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, mahu pemain yang dipilih mewakili skuad negara ke Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 18 hingga 26 Mei ini, berjuang berhabis-habisan membawa pulang kejuaraan di bumi sendiri.
“Anda terpilih di kalangan jutaan rakyat negara ini, sudah pasti anda perlu bersyukur… hanya 16 yang dipilih.
“Justeru, tunjukkan semangat juang, perlu ada semangat jati diri yang baik kerana sudah lama kita idamkan kejuaraan,” kata Sumali ketika berucap melancarkan jersi rasmi dan memperkenal pemain skuad sepak takraw kebangsaan ke Piala Dunia Istaf, di ibu negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Menurutnya, sudah lama Malaysia tidak menjuarai dan mengalahkan Thailand.
Katanya, kali terakhir Malaysia muncul juara dengan mengalahkan seteru utama, Thailand pada Siri Super Istaf 2015 di Melaka manakala di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, namun regu Thailand tidak mengambil bahagian ketika itu.
Begitupun, Sumali sedar bukannya mudah untuk meraih kejuaraan kali ini, namun dengan perubahan sistem mata yang baru diperkenalkan, peluang juga berubah.
Buat julung kalinya pada Piala Dunia kali ini, Istaf memperkenalkan sistem kiraan 15 mata dengan sekali servis, sekali gus membuka peluang buat semua pasukan mencapai kemenangan berbanding sistem lama.
Malaysia akan beraksi dalam semua tiga kategori, berpasukan, regu dan double.
Skuad negara berada dalam kumpulan A bersama Jepun serta Brunei dan pasukan sama berada dalam kumpulan C dalam acara berpasukan.
Sementara dalam acara regu pula, Malaysia diletakkan selaku pasukan pilihan diundi dalam kumpulan B bersama-sama China dan Brunei.