KONTINJEN Terengganu mensasarkan kutipan 75 pingat emas untuk merampas gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-21 di Sarawak, Ogos nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, misi itu dilihat realistik berdasarkan persiapan dibuat Majlis Sukan Negeri Terengganu sejak 2022.
Menurut beliau, sasaran itu bakal mengatasi pencapaian dua tahun lalu iaitu 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa untuk berada di tempat kedua.
“Kontinjen Terengganu di Sukma Sarawak nanti akan diwakili 1,076 atlet, pengurus dan jurulatih dalam 36 jenis sukan yang disertai daripada 37 yang dipertandingkan.
“Antara jenis sukan mampu menjadi ‘lubuk’ atau penyumbang pingat emas sudah tentu acara berbasikal, pelayaran, judo, kenu, petanque dan ‘ibu’ segala pingat, bola sepak.
“Selain itu juga beberapa jenis sukan juga telah dikenalpasti berpotensi menghadirkan kilauan pingat emas antaranya olahraga.
“Cita-cita Terengganu tahun ini cukup besar merampas gelaran juara yang kali terakhir dimenangi enam tahun lalu di Perak dan sasaran awal 75 pingat emas telah diletakkan,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu Sempena 100 Hari Menjelang Sukma Sarawak 2024 di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Dalam majlis itu, turut diumumkan pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai ketua kontinjen.