JAGUH berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membawa misi besar ketika menghadapi kejohanan di Jepun minggu hadapan, apabila menyasarkan untuk mencatat masa sekitar 10.0 saat (s) dalam acara pecut 200 meter (m).

Menurutnya, dia mahu mencabar diri dalam acara pecut selepas dijangka menyertai beberapa kejohanan termasuk Piala Presiden di Jepun, sepanjang lapan hari di negara matahari terbit itu.

“Misi di Jepun, saya nak cuba cecah 10s dalam acara pecut, jika mencecah masa itu, ia menjadi petunjuk peningkatan prestasi.

“Dalam acara keirin pula, saya mahu beranikan diri berdepan pesaing kerana mereka semua adalah pelumba berkelas dunia, saya mahu cabar diri,” kata Nurul Izzah, ditemui selepas perlumbaan Piala Presiden, di Veledrom Nasional, Nilai.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (hitam, belakang) ketika beraksi pada perlumbaan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada.

Nurul Izzah bersama Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, akan menyertai dua Kejohanan Piala Trek Jepun 1 dan 2.

Piala Trek Jepun 1 bermula hari ini (9-10 Mei) namun pelumba negara hanya akan beraksi esok dalam acara keirin dan pecut.

Manakala Piala Trek Jepun 2 pula berlangsung 11-12 Mei.

Pada saingan Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu, dia mencatat memecah rekod kebangsaan acara pecut (200m) pada pusingan kelayakan (flying) dengan catatan 10.903s

“Semua ini saya mahu lakukan kerana berharap dapat mencatat 10s atau 10.9s lagi di Olimpik Paris.

“Ketika ini, catatan pelumba semakin panas malah di kejohanan Piala Negara-Negara (Nations Cup), pelumba yang mencatat masa 11.1s sudah tidak layak, jadi saya perlukan banyak peningkatan,” ujarnya.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bakal berkayuh dengan basikal baharu WX-R Vorteq yang sama seperti Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Telahan Nurul Izzah itu ada benarnya kerana rekod Asia dalam pusingan flying 200m masih dipegang pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze dengan catatan 10.387s, malah pelumba Kanada, Kelsey Mitchell memegang rekod dunia 10.154s.

Nurul Izzah bersama Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, akan berlepas ke Jepun Isnin ini, bagi menjalani latihan dan menyertai beberapa kejohanan di sana, sebelum kembali ke tanah air pada 13 Mei.

Selepas itu, trio Olimpik trek negara itu akan berada di Kuala Lumpur selama kira-kira 15 hari termasuk menyertai kejohanan trek kebangsaan, sebelum berlepas ke Belgium untuk kem latihan pusat, disusuli ke Mallorca, Sepanyol dan akhirnya ke Paris.