KELAB Bola Sepak DNA Faisal Halim memilih untuk tetap meneruskan misi pencarian bakat baharu demi melahirkan lebih ramai pemain seperti ‘Mickey’.

Timbalan Presidennya, Shafiee Abdull Rahim memberitahu FLASH SUKAN bahawa dia menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Faisal itu sepenuhnya demi menggilap bakat baharu dari peringkat akar umbi lagi.

Walaupun  faham akan situasi terkini Faisal, namun Shafiie hanya berharap agar tonggak pemain kebangsaan itu dapat kembali pulih dengan segera sekali gus gembira apabila melihat kelab bola sepaknya terus bergerak aktif.

Shafiie bersama Faisal

“Saya terkejut dengan apa yang berlaku terhadap Mickey (Faisal). Sabtu lalu, kami baharu sahaja membuat majlis pelancaran untuk kelab DNA ini, dan tiba-tiba dapat khabar dia diperlakukan sedemikian.

“Jadi, sebagai kelab yang ditubuhkan, diilhamkan dan disokong olehnya, kami hanya berharap agar beliau cepat sembuh semula. Di kampung pun dia banyak bantu orang di sini.

“Saya sebagai Timbalan Presiden juga akan teruskan program-program kelab ini seperti biasa, walau apa jua yang terjadi. Kita akan teruskan cari bakat seperti Faisal Halim dalam apa sahaja situasi.

Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim.

“Setakat ini, lebih kurang anggaran dalam 100 orang telah mendaftar dalam kelab ini, dan kita akan teruskan latihan. Kami harap apabila Mickey balik setelah sembuh nanti, dia gembira melihat kelab dia terus berjalan seperti biasa,” ujar Shafiie ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam perkembangan sama, Shafiee turut memberitahu bahawa Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dibuat untuk pemain kebangsaan pada malam Rabu (semalam) telah mendapat sambutan yang baik.

Lebih kurang 300 tetamu termasuk ayah kepada Faisal sendiri telah bersama-sama hadir ke Dewan Homestay Mengkuang Titi, Bukit Mertajam untuk meraikan Majlis Tahlil berkenaan.