FOTO: TFC
PENYERANG Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade, sedia menggalas tugas selaku penggempur utama pada aksi pembuka tirai Liga Super bertemu Perak, Sabtu ini.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata, dia tidak sabar membuktikan kemampuan pada ‘debut’ bersama TFC ditambah ketiadaan ayam tambatan, Ivan Mamut.
“Kehilangan Mamut bukan kelebihan bagi saya sebaliknya berita buruk kepada pasukan kerana dia penyerang yang berkualiti.
“Saya tidak kisah diletakkan di posisi penyerang atau sayap, saya cuma mahu membantu pasukan meraih kemenangan Sabtu ini.
“Kehilangan beberapa tonggak menjejaskan kami tetapi jika semua pemain memberikan aksi 100 peratus, TFC mampu mengutip tiga mata,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Bekas penyerang Kelantan FC dan Kelantan United itu mempamerkan aksi positif setelah meledak lima gol dalam lima perlawanan pra musim bersama skuad Penyu.
Persiapan TFC menghadapi Perak begitupun dijejaskan isu kecergasan beberapa tonggak antaranya Mamut, Matthew Steenvorden, Safwan Mazlan dan Akhyar Rashid.
“Kelebihan beraksi di laman sendiri harus dimanfaatkan dan kami mahu bermula langkah kanan di hadapan penyokong setia TFC,” jelas Akinade.