PERBELANJAAN besar untuk membentuk skuad terkini Sabah FC mula diiktiraf di peringkat Asia Tenggara selepas The Rhinos mendapat jemputan Kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta bermula 30 Mei hingga 2 Jun 2024.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, sebelum ini semua mengetahui Sabah FC mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membentuk sebuah pasukan di peringkat awal sebelum mencapai kejayaan di peringkat rantau asia.
Pengiktirafan ini adalah perkembangan positif sekali gus menjadikan Sabah FC sebaris dalam kalangan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang begitu sinonim dengan kehebatan mereka dalam arena sukan bola sepak.
“Jemputan ini adalah penghargaan kepada Sabah FC selepas pencapaian terbaik kami layak ke saingan Piala AFC dan mendapat tempat ketiga selama dua tahun berturut-turut dalam Liga Super.
“Semua tahu Sabah FC berbelanja besar dalam membentuk pasukan yang mantap, berkualiti, sekali gus jemputan ini memberikan imej yang sangat baik bukan sahaja kepada pasukan Sabah FC malah kepada negeri Sabah itu sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai kejohanan itu nanti Kim Swee berkata, Sabah FC mengesahkan tiada pemain kebangsaan akan disenaraikan untuk menyertai kejohanan tersebut kerana ianya berlangsung serentak dengan kalendar antarabangsa Fifa.
“Pemain sedia ada perlu membuktikan keupayaan mereka untuk layak bermain pada mana-mana kejohanan sekiranya berlaku kecederaan atau penggantungan terhadap pemain utama sepanjang kempen liga nanti.
“Sudah tentu ruang yang ada ini perlu digunakan sebaik mungkin serta mampu untuk mendapatkan momentum serta meneruskan intensiti selepas mengharungi tiga perlawanan dalam Liga Super,” jelasnya.
Kejohanan empat penjuru di Jakarta Internasional Stadium itu turut melibatkan Selangor FC dan dua kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang dengan juara menerima hadiah wang tunai USD30,000 dan naib juara menerima USD15,000 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing akan menerima wang tunai berjumlah USD10,000 dan USD5,000.