PEMBUKAAN musim di MAM Malaysia Superbike Championship menyaksikan Md Helmi Azman dari pasukan Boon Siew Honda Racing Team mendominasi kategori MSBK600 dalam sesi latihan yang berakhir pada Jumaat.
Helmi muncul dengan masa terpantas dalam Latihan 1 apabila mencatat masa pusingan 2 minit 11:550 saat, meletaknya dihadapan Md Syarifuddin Azman dari Boon Siew Honda Racing Team dan Apiwath Wongthananon dari Yamaha Tekhne Racing Team Asia yang berada di tempat kedua dan ketiga.
Kemudian dalam Latihan 2, Helmi sekali lagi mendahului pelumba lain dengan masa pusingan yang lebih baik 2 minit 11:310 saat manakala Syarifuddin juga kekal di tempat kedua dengan masa pusingan 2 minit 11:787 saat diikuti oleh Thanat Laoongplio dari Honda Racing Thailand pada 2 minit 12:591 saat.
Dalam kategori MSBK250 A, Md Haziq Md Fairues dari Boon Siew Honda Racing Team menduduki tempat teratas selepas mencatat masa pusingan terpantas dalam sesi latihan.
Dalam Latihan 1, Haziq mendahului pelumba lain apabila mencatat masa pusingan 2 minit 29:631 saat. Gerry Salim dari Honda NWN SCK Racing Team menduduki tempat kedua diikuti oleh Irfan Ardiansyah dari Honda NWN SCK Racing Team.
Dalam Latihan 2, Haziq meningkatkan rentaknya dengan mengungguli sesi dengan masa pusingan terpantas 2 minit 27:888 saat. Muhd Muzakkir Mohamed dari Horizon Racing Team mencatat masa pusingan terbaiknya 2 minit 28:260 saat dan Muhd Irfan Haykhal Amidi dari Boon Siee Honda Racing Team pada 2 minit 28:425 saat, masing-masing mengisi tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu dalam kategori 1000cc, Nakarin Atiratphuvaphat dari Honda Racing Thailand menunjukkan penguasaannya apabila mengungguli kedua-dua sesi latihan dalam kategori MSBK1000 A yang berakhir pada Jumaat.
Masa terpantas yang dicatat olehnya ialah 2 minit 08:514 saat, dicatat ketika sesi Latihan 1 manakala Azroy Hakeem Annuar dari pasukan Boon Siew Honda Racing Team menduduki tempat kedua dan Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Horizon Racing Team menduduki tempat ketiga.