MALAYSIA terpaksa berhempas pulas sebelum menutup aksi kumpulan Piala Sultan Azlan Shah 2024 dengan nota kemenangan mengatasi Korea Selatan dengan keputusan 1-0.

Dengan kemenangan ini, Malaysia disahkan akan bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat bertemu  New Zealand pada Sabtu.

Manakala Korea Selatan pula akan beraksi dalam aksi penentuan tempat kelima/keenam dengan pasukan yang masih belum catat sebarang kemenangan dalam edisi kali ini, Kanada.

The Speedy Tigers memulakan perlawanan dengan garang apabila mereka melakukan beberapa percubaan terhadap kubu pertahanan Korea Selatan seawal lima minit pertama.

Pintu gawang gol Korea Selatan akhirnya dibolosi pada minit ke-5 apabila penyerang berusia 24 tahun, Akhimullah Anuar menjaringkan gol tunggal perlawanan hasil gol padang.

Korea Selatan mempunyai beberapa percubaan bahaya sepanjang perlawanan namun Hafizuddin Othman menjadi hero untuk The Speedy Tigers apabila menyelamatkan pintu gol Malaysia daripada dibolosi.

Malaysia juga mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan, termasuk mempunyai 7 pukulan sudut penalti namun gagal menemui pintu gol.

Menurut pengendali The Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata pasukannya mempunyai masalah yang sama seperti perlawanan sebelum ini.

“Kami mempunyai banyak peluang seperti perlawanan Jepun sebelum ini namun kami gagal convert kepada gol.

“Ini merupakan persembahan paling buruk sepanjang kami berada dalam kejohanan ini.

“Sudah tentu saya tak gembira dengan persembahan ditonjolkan namun kami berjaya mendapat tiga mata. Kami memang mahukan persembahan yang baik, itu perkara paling mustahak dan saya berharap persembahan pemain tidak lagi buruk untuk perlawanan esok,” katanya selepas sidang media.

Malaysia akan bertemu New Zealand sekali lagi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat esok pukul 6.15 petang.