PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mempamerkan tunggangan yang penuh bersemangat pada Pusingan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Le Mans, Perancis, awal pagi Sabtu.

Hari pertama perlumbaan menyaksikan Hakim Danish memberikan segalanya, dengan fokus pada latihan dan kelayakan. Dalam sesi latihan pertama (FP1), dia mengambil kesempatan untuk mendapatkan ‘rasa’ dengan motosikal dan litar untuk prestasi yang lebih baik.

Prestasi luar biasa ini dirakamkan dengan kedudukan ke-7 pada latihan pertama.

“Selesai untuk hari pertama di Litar Le Mans. Pada practice pertama saya cuba ambik feeling dengan motor dan litar. Practice kedua saya improve saya punya riding dan juga kawal motor dengan baik.

“Semasa di qualifying saya cuba improve saya punya riding dan cuba buat yang sehabis baik. Doakan kejayaan saya race esok,” katanya.

Hakim mula mendapat rentak di FP2. (Foto : FB Hakim Danish)

Pada sesi FP2, Hakim Danish menunjukkan peningkatan yang ketara dalam penguasaan motosikal dan kemahiran pemanduan, mengatasi cabaran dengan cemerlang. Keputusan yang mengagumkan diperoleh dengan kedudukan ke-3 pada latihan kedua.

Musim ini, pelumba kelahiran Kuala Terengganu berusia 17 tahun itu memulakan kempen di Pusingan 1 Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Misano, Itali, pada 21 April lalu.

Hakim Danish selepas itu menyingkap tirai Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar Jerez, Sepanyol.

Pada Pusingan 1 itu, Hakim Danish berjaya menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan kedua.

Kemudiannya dia mengalih cabaran pada Pusingan 2 Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Estoril, Portugal minggu lalu.