BEKAS juara remaja dunia, Goh Jin Wei tidak menyangka namanya disenaraikan untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.
Jin Wei,22, meluahkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas memberi kepercayaan kepadanya menggalas tugas berat di sukan kedua terbesar dunia itu.
“Pertama sekali, terima kasih kepada MSN dan BAM atas kepercayaan. Sangat teruja dan melihat ke hadapan.
“Persiapan saya semua bagus. Saya tak sangka dipanggil untuk beraksi dalam Sukan Komanwel, ” ujar kepada media baru-baru ini.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Bukit Mertajam tersebut tidak terlalu mengharapkan bulan dan bintang untuk meraih emas buat kem negara sebaliknya berjanji akan mengerah segala kudratnya buat pasukan kebangsaan.
“Sekarang baharu balik dari Eropah, jadi masih ada lagi masa satu bulan. Pasti saya sasarkan yang terbaik tapi tak berani nak letak sasaran pingat emas. Saya rasa sentiasa bersemangat dan sentiasa bersedia.
“Walaupun lawan adalah jaguh dunia, siapa tahu kejutan boleh berlaku. Saya sendiri masih mengambil ubat dan perlu menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut agar lebih baik,” tambahnya.
Ia merupakan penampilan pertama Goh Jin Wei dalam pentas kedua terbesar dunia pada usia yang masih muda serta merupakan platform terbaik buatnya membuktikan kemampuannya menentang pemain handalan dunia.