PIALA Dunia Sepaktakraw Istaf 2024 adalah masa paling tepat untuk Malaysia merampas gelaran sebagai ‘Raja Takraw’ dunia apabila Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) melaksanakan peraturan sistem mata baharu.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Azlan Mubin, perkembangan dunia sepak takraw yang turut menyaksikan perubahan hampir menyeluruh dalam Persatuan Sepaktakraw Thailand, daripada pucuk kepimpinan hingga ke barisan pemain, menjadi peluang terbaik buat Malaysia melakar kejutan.

“Dari segi undian, semua pasukan negara baik dari acara double, regu mahupun berpasukan, kita tidak akan bertemu Thailand di pusingan awal dan jika bertemu sekalipun hanya di final.

Perubahan sistem mata dengan sekali servis, pembaharuan dalam Persatuan Sepaktakraw Thailand meyakinkan Azlan Mubin bahawa inilah masa paling sesuai untuk Malaysia muncul juara Piala Dunia.

“Sistem 15 mata dengan satu servis juga pasti akan membantu pasukan-pasukan lain termasuk Malaysia, untuk memecah momentum tekong Thailand,” kata Azlan, yang cukup mengenali pasukan negara Gajah Perang itu, yang memiliki kekuatan luar biasa di posisi tekong.

Beliau yang juga pengulas sukan tanah air turut mendedahkan bahawa, ketika Istaf bercadang mahu melaksanakan sistem 15 mata dengan sekali servis, persatuan sepak takraw Thailand dikatakan cuba mempertahankan format tiga servis.

Artikel Berkaitan:

Piala Dunia Sepak Takraw: Sumali cabar pemain buru kejuaraan

Sistem 15 mata sekali servis di Piala Dunia beri kelebihan buat Malaysia

“Dari aspek mata, saya pasti rentak konsisten servis tajam Thailand akan terganggu, cuma pemain kita perlu mendahului dengan jarak lebih besar atau mengelak dari ketinggalan jauh kerana Thailand cukup hebat dari segi psikologi bermain di bawah tekanan terutamanya di penghujung permainan,” katanya.

Pemain negara tidak boleh lalai dan membiarkan ditinggal lawan dengan jarak mata yang besar.

Menurutnya, Thailand juga telah mengumumkan barisan pemain ke Piala Dunia yang kebanyakannya muka baharu.

“Mereka sudah mengumumkan muka baharu dan hanya Sitthipong Khamchan dan Siriwat Sakha pemain paling senior.

“Kita boleh lihat mereka juga seperti terdesak memanggil semua jurulatih Seksan Tubtong yang sebelum ini melatih pemain double negara… mereka panggil balik untuk bantu skuad kebangsaan mereka,” ujar Azlan lagi.

Begitupun, lapan pemain dalam skuad kali ini, mempunyai pengalaman di Temasya Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu.

Justeru, beliau berkata, skuad negara jauh lebih berpengalaman berbanding Thailand untuk menghadapi Piala Dunia kali ini, malah prestasi beberapa pemain baharu dalam skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun kali ini memiliki kualiti yang setara.

Thailand mengumumkan 12 pemain mereka yang menggalas cabaran di Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024.

Senarai pemain Thailand ke Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024

TEKONG

Sitthiphong Khamchan

Prathep Thinbangbon

Siriwat Sakha

Kritsanapong Nontakote

 

FEEDER

Murakin Phanmak

Prames Siriswat

Wichan Temkort

Seksan Thapthong

 

STRIKER

Thanapon Sapyen

Varayut Jantrasena

Pichet Phansan

Kittipoom Saribut