THE Speedy Tigers akan menghadapi perlawanan terakhir Piala Suktan Azlan Shah 2024 dengan bertemu pasukan ranking ke-10 dunia, New Zealand untuk penentuan tempat ketiga/keempat.
Malaysia melakar tiga kemenangan dan dua kekalahan dalam aksi kumpulan untuk mengumpul sembilan mata manakala New Zealand mencatat dua kemenangan, dua kekalahan dan satu seri untuk mengumpul tujuh mata.
Dalam pertembungan sebelum ini, Malaysia mencatat kemenangan 6-4 ke atas New Zealand, termasuk menjaringkan empat gol awal di suku pertama perlawanan.
Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan hatrik pada malam itu dan dirinya pasti mahu mengulangi kejayaannya menjaringkan gol untuk mengukuhkan tempatnya sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
Azrai setakat ini mempunyai 7 gol dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2024, tiga gol lebih daripada dua pencabar terdekat iaitu George Baker dan Jake Smith dari New Zealand.
Sarjit Singh menegaskan bahawa pemainnya kena bangkit untuk tunjukkan persembahan yang baik selepas persembahan buruk ditonjolkan dalam perlawanan menentang Korea Selatan semalam.
“Esok (hari ini) kita akan menghadapi satu lagi perlawanan yang sukar dan ia bukan mudah bertemu New Zealand, harap kita dapat bangkit.
“Ia bukan mengenai keyakinan, apa sahaja boleh berlaku…kita menang dua kali dan tidak mudah untuk melakukan untuk kali ketiga. Kita dapat tengok mereka kembali beraksi dengan baik selepas tewas kepada Jepun, anda boleh lihat,” kata jurulatih The Speedy Tigers, Sarjit Singh.
New Zealand pula memandang perlawanan menentang Malaysia sebagai percubaan mereka untuk memenangi perlawanan penting dalam kejohanan utama hoki.
“Kami mungkin lebih menekankan untuk mendapatkan bola di luar sana. Kami tahu Speedy Tigers akan bermain laju dengan bola.
“Sepanjang kejohanan ini, kami memikirkan tentang proses dan pertumbuhan pemain dan perkara semacam itu sebagai persiapan untuk Sukan Olimpik Paris 2024.
“Tetapi, kami juga tahu bahawa untuk berjaya di acara utama, anda perlu belajar bagaimana untuk menang,” kata jurulatih New Zealand, Greg Nicol.
Malaysia akan bertemu New Zealand dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat hari ini jam 6.15 petang.