PIALA Sultan Azlan Shah 2024 kini mencapai hari kemuncak kejohanan, dengan perlawanan akhir diantara pasukan Jepun dan Pakistan menjadi tumpuan utama peminat hoki negara.

Ini merupakan kali pertama Jepun melayakkan diri ke final Piala Sultan Azlan Shah selepas enam penampilan dalam kejohanan berprestij itu.

Manakala ini merupakan penampilan ke-9 Pakistan dalam perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah dan kali pertama ke final sejak 2011, tewas kepada Australia dengan keputusan 3-2 pada edisi itu.

Pakistan yang juga merupakan juara tiga kali PSAS itu pasti mahu memenangi trofi itu selepas kali terakhir menjadi juara pada 2003.

Ketua jurulatih hoki Pakistan, Roelant Oltmans lebih rela melihat pasukannya memenangi aksi final pada masa penuh perlawanan.

“Sejujurnya saya lebih memilih agar perlawanan itu ditentukan sebelum penentuan penalti.

“Tapi jika kami terpaksa menghadapinya (penentuan penalti), ia pengalaman yang bagus untuk pemain.

“Sebagai pemain, anda perlukan pengalaman seperti itu. Barisan pemain saya sudah bersedia berdepan kemungkinan itu meskipun kami mempunyai tempoh cukup singkat untuk melakukan persiapan,” katanya semalam.

“Jepun bertahan dengan baik, jadi kami perlu mencari ruang untuk menembusi pertahanan mereka dan pada masa sama, kami tidak boleh kerap memberi peluang kepada mereka serta pastikan barisan pertahanan kami juga dapat beraksi dengan baik,” tambahnya lagi.

Manakala pengendali hoki Jepun, Yoshihiro Anai berkata mereka perlu melihat semula perlawanan sebelum ini untuk membaiki segala kelemahan yang ada untuk aksi final.

“Kami perlu fokus pada bahagian depan, pukulan sudut penalti dan kami juga tidak akan meletakkan terlalu ramai pemain di belakang.

Adakah trofi ini menjadi milik Pakistan buat kali keempat atau Jepun akan memenanginya buat kali pertama?

“Pakistan sangat mahir, sangat bagus menggelecek bola jadi kami perlu fokus pada pertahanan kami dan kami juga perlu mengekalkan gaya permainan yang agresif nanti,” katanya.

Adakah kita akan melihat sejarah baru akan dicipta atau kemarau yang panjang berakhir malam ini? Nantikan perlawanan akhir diantara Jepun dan Pakistan malam ini jam 8.30 malam.