PIHAK pengurusan Sabah FC melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di kediaman rasminya diketuai Timbalan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Awang Kadin Tang dan Naib Presidennya, Datuk Alijus Sipil serta Pengurus Sabah FC, Mohd Joh Wid.
Dalam pertemuan singkat ini, Mohd Joh meluangkan masa memberikan makluman berkaitan perjalanan menjelang sepak mula Liga Super menentang Penang FC di Stadium Likas pada Ahad yang mana The Rhinos kini dalam persiapan akhir untuk mengharungi saingan Liga Super 2024-25.
“Bagi pihak pengurusan Sabah FC, kami mengucapkan terima kasih atas komitmen berterusan kerajaan negeri bagi memastikan pasukan ini terus bersaing dalam Liga Malaysia.
“Sudah tentu sokongan kerajaan negeri ini akan menyuntik semangat Sabah FC bagi memastikan pencapaian serta sasaran yang ditetapkan akan dapat diterjemahkan nanti,” jelas Mohd Joh.
Dalam kunjungan itu, Md Joh turut memyampaikan jersi “Home” Sabah FC bagi musim 2024/25 yang diberi nama “Tagap” kepada Hajiji.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mahu memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan selepas beraksi baik untuk muncul juara Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 minggu lalu.
Meskipun ada beberapa pemain yang masih dibelenggu kecederaan, Kim Swee tetap yakin dengan barisan sedia ada untuk mengutip tiga mata penuh dihadapan penyokong sendiri bagi memastikan momentum kemenangan dapat dikekalkan dalam pasukan.