KETUA jurulatih hoki Jepun, Yoshihiro Anai berasa gembira dengan para pemainnya selepas melakar sejarah memenangi Piala Sultan Azlan Shah buat pertama kali semalam.

Beliau berkata anak buahnya menyahut cabaran untuk memenangi kejohanan ini dan mereka telah berjaya melakukannya.

“Kami berjaya sempurnakan misi di kejohanan ini dan saya sangat berbangga dengan semua pemain. Ia pengalaman yang sangat menarik untuk kami.

“Paling penting apa yang ditunjukkan pemain-pemain dalam aksi final ini dan sepanjang perlawanan adalah semangat tidak mudah berputus asa.

“Para pemain kami menyahut cabaran di untuk memenangi kejohanan ini dan banyak perkara yang kami dapat belajar di sepanjang kejohanan ini.

“Persediaan untuk pasukan untuk kejohanan ini hanya dalam tempoh seminggu. Tetapi saya memberi fokus kepada kemahiran asas setiap pemain dan merencana taktikal terbaik.

“Setiap pemain diberi kerja rumah untuk mencapai cabaran yang diberikan dan saya gembira mereka berjaya memenuhinya,” katanya selepas perlawanan..

Untuk rekod, pencapaian terbaik yang diraih oleh pasukan Samurai sejak kali pertama menyertai kejohanan itu pada tahun 1987 adalah menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi tahun 2022.

Kazumasa Matsumoto meletak namanya dalam buku sejarah hoki Jepun selepas menjaringkan penalti yang membuatkan Jepun menjulang trofi Piala Sultan Azlan Shah buat pertama kali.