SHEREEN Samson Vallabouy meraih pingat gangsa di Kejohanan Pure Athletics Elite, Florida, Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi, namun jauh dari menghampiri masa kelayakan ke Olimpik Paris 2024.
Pelari 400 meter (m) wanita yang mewakili kelab Life Speed itu, menamatkan final di tempat ketiga dengan catatan 52.50 saat (s), di belakang pelari kelab Atlanta, Leah Anderson yang muncul juara dengan catatan masa 51.22s manakala Kaylin Whitney dari Star Athletics kedua (52.49s).
Shereen, 25, bagaimanapun lebih perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya 51.80s dan masih jauh untuk melepasi 50.95s, iaitu had kelayakan ke Sukan Olimpik Paris yang akan berlangsung Julai hingga Ogos depan.
Dia yang berpangkalan di Florida, berada di bawah bimbingan jurulatih, Derrick White, dijadual menyertai kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee pada 31 Mei ini.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), John Ballard, berkata, sekiranya Shereen gagal melepasi had kelayakan, pelari harapan negara itu masih boleh melayakkan diri menerusi kedudukan ranking kelayakan ke Paris.
“Dia ketika ini berada di kedudukan ke-74 kelayakan ke Olimpik Paris, dia perlu berada dalam kelompok 48 terbaik pada hujung Jun untuk layak.
“Dia akan menyertai satu lagi kejohanan di Amerika Syarikat sebelum pulang dan mengambil bahagian di Terbuka Malaysia di Kuantan, Pahang (14 hingga 16 Jun),” katanya.
Dalam pada itu, Shereen yang turut mengambil bahagian dalam acara 200m di Florida menamatkan saingan di tempat kelapan dengan catatan masa 23.64s.
Catatan masih jauh untuk menghampiri rekod kebangsaan G Shanti, 23.37s.