FOTO : MFL
SABAH FC gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2024-25 di Stadium Likas apabila diikat Penang FC 0-0 dalam aksi hambar yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee meletakkan kesebelasan terbaik dengan Ramon Machado dan Saddil Ramdani masing-masing lulus ujian kecergasan namun tidak berjaya memberikan tiga mata penuh buat The Rhinos.
Penang FC pula dilihat berjaya mengecewakan Sabah dengan taktikal bertahan yang berkesan dengan sesekali melakukan serangan balas namun tidak dapat menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Sabah.
Kim Swee mengakui ketumpulan penyudah menjadi punca utama keputusan tanpa jaringan ini dan dia mahu perkara ini diperbaiki menjelang aksi kedua menentang Kelantan Darul Naim yang turut dianggap mampu memberikan saingan kepada pasukannya.
LIGA SUPER 2024-25
FT: Sabah FC 0-0 Penang FC
📸 @MFL_MY#LigaSuper2024#RaduTatapRadu#HariaPenangHaria pic.twitter.com/kCLnrvRPX4
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 12, 2024
“Kita mempunyai banyak peluang tetapi penyudah begitu tumpul dan bukan mudah menentang pasukan yang inginkan satu mata dari tempat lawan dan kami perlu perbaiki dari sudut penyudah pada perlawanan akan datang,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli nyata berpuas hati dapat membawa pulang satu mata dari Likas dan memuji barisan pertahanan yang bertahan secara satu unit dan kini lebih berkeyakinan untuk menghadapi lawan yang lebih kuat selepas ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan satu mata ini kerana bukan mudah untuk mencuri mata di sini dan pujian buat barisan pertahanan dan tengah yang bertahan secara satu unit hingga dapat mengekang serangan yang diatur pasukan Sabah,” jelasnya.
Hasil keputusan ini menyaksikan Sabah kini di tangga keempat manakala Penang di tangga kelima masing-masing dengan satu mata dan pelbagai perkara perlu diperbaiki kedua-dua jurulatih bagi memastikan kemenangan dapat dicapai pada perlawanan seterusnya.