RATU skuasy negara, S.Sivasangari mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia skuasy 2024 mengakui, ternanti-nanti siapakah lawannya selepas berjaya menjinakkan pemain remaja Amerika Syarikat, Caroline Fouts Ahad malam.

Pemain dari Sungai Petani, Kedah itu menepati status sebagai pilihan ke-14, berjaya menamatkan perlawanan dalam tempoh singkat 24 minit, ketika memenangi pusingan kedua 3-0 (11-6, 11-7, 11-6).

“Caroline baru 18 tahun… dalam kepala saya timbul persoalan bagaimana agaknya masa depan skuasy. Dia bakal memasuki universiti dan saya pasti dia adalah harapan besar Amerika Syarikat di masa depan,” kata Sivasangari selepas melepas ujian kedua di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Palm Hills, Mesir.

Jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari tiada masalah menyingkir pemain remaja AS, Cariline Fouts di pusingan kedua, Kejohanan Dunia Skuasy 2024. |FOTO PSA WORLD CHAMPIONSHIPS

Sivasangari, 25, mengakui dia bagaikan kembali kepada dirinya yang lama, sewaktu remaja ketika menentang pemain Amerika Syarikat itu.

Namun lawan di pusingan ketiga nanti bukannya lawan mudah kerana dia bakal berdepan pilihan kedua kejohanan dari Mesir, Hania El Hammamy ataupun pemain Perancis, Melissa Alves.

“Saya tertunggu-tunggu lawan saya nanti,” ringkas komen Sivasangari mengenai perlawanan pusingan ketiga nanti.

Perjalanan Aira Azman terhenti di pusingan kedua, apabila tewas kepada pemain ranking keenam dunia, Gina Kennedy dari England. |FOTO PSA WORLD CHAMPIONSHIPS

Namun, anak Malaysia itu dijangka bertemu El Hammamy pada Selasa, lawan sama yang ditewaskannya ketika menjuarai London Classic, 1 April lalu.

Ketika itu, Sivasangari berjaya menewaskan El Hammamy dalam pertarungan lima set, sekali gus merapatkan rekod pertemuan kepada 2-4.

Ng Eain Yow turut layak ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia Skuasy 2024.

Hajat melihat naib juara remaja dunia, Aira Azman ke pusingan ketiga tidak kesampaian, apabila pemain berusia 20 tahun itu tewas kepada pemain nombor 6 dunia dari England, Gina Kennedy 6-11, 3-11, 6-11 dalam masa 25 minit.

Mengiringi Sivasangari, pemain utama lelaki negara, Ng Eain Yow yang mudah menjinakkan jaguh Jepun, Ryunosukue Tsukue dalam aksi straight set 11-1, 11-5, 11-9 dalam masa 36 minit.

Eain Yow jua menanti pemenang antara pilihan kedua, Paul Coll dari New Zealand atau Leonel Cardenas dari Mexico di pusingan ketiga, Selasa ini.