KUALA Lumpur City FC berjaya mengelak daripada kekalahan selepas beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua apabila diikat Kuching City FC 1-1 dalam aksi pembukaan Liga Super 2024-25.
KL City bagaimanapun terpaksa membayar harga yang tinggi apabila kehilangan Kamal Azizi akibat kecederaan dan kad merah yang dilayangkan kepada pemain pertahanan import baharu, Adrijan Rudovic.
Kapten fantastik, Paulo Josue menggembirakan penyokong tuan rumah apabila meletakkan KL City dihadapan pada minit ke-12 selepas meledak rembatan deras untuk gol pendahuluan.
Selepas dua perlawanan dilangsungkan tanpa kehadiran Video Bantuan Pengadil (VAR) akibat masalah teknikal, penonton di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan gol Kuching City jaringan Yuki Tanigawa pada minit ke-14 dibatalkan akibat kekasaran pada penjaga gol KL City.
Sejurus permainan bersambung, Kuching City berjaya menyamakan kedudukan kali ini menerusi jaringan cantik Pedro Henrique yang bijak melorongkan bola melepasi jangkauan Azri Ghani sekaligus mengembalikan keyakinan anak-anak buah Aidil Sharin Sahak.
VAR sekali lagi menjadi perhatian kali ini melibatkan insiden kekasaran Adrijan Rudovic keatas Jordan Mintah dengan pengadil membatalkan keputusan kad kuning yang diberikan seterusnya melayangkan kad merah pada minit ke-39.
Meskipun bermain 10 pemain, KL City dilihat tidak berdepan masalah pada babak kedua sebaliknya Kuching City yang lebih ditekan dengan hanya sesekali melancarkan serangan ke kubu lawan.
Kedua-dua pasukan gagal mengulangi kerancakan babak pertama dengan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah walaupun beberapa pertukaran dilakukan untuk menambah sengat di bahagian tengah dan serangan.
Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dengan Kuching City dilihat gembira dengan satu mata yang dapat dibawa pulang manakala KL City perlu merangka semula strategi untuk mencari kemenangan pertama.