PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui dia berpuas hati dengan aksi positif yang ditunjukkan barisan pemainnya ketika mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1 dalam aksi pembukaan Liga Super 2024-25 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.

Jurulatih asal Singapura itu sedar bukan mudah buat skuadnya yang dibarisi ramai muka-muka baharu untuk mencuri satu mata di Cheras namun dia positif dengan apa yang dilihatnya bagi menghadapi musim ini.

“Secara keseluruhan saya sangat gembira kerana pemain sudah berikan segalanya pada perlawanan ini dan syukur untuk datang ke sini dan bawa pulang satu mata kerana ianya adalah satu perkara yang baik walaupun tiga mata lebih baik apabila menentang pasukan seperi KL City.

Aidil Sharin gembira dengan persembahan anak-anak buahnya mengikat Kuala Lumpur City di Cheras.

“Tetapi saya perlu tegaskan yang kami adalah pasukan baru dibentuk dengan 80 peratus pemain baharu tetapi pemain lakukan yang baik untuk dapatkan satu mata di laman lawan dan ini sesuatu yang positif untuk kelab untuk menghadapi musim ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Aidil juga menjelaskan meskipun berhadapan dengan KL City yang bermain 10 pemain, ianya masih satu perlawanan yang sukar kerana pihak lawan sudah menukar corak permainan mereka dengan bertahan lebih dalam kawasan sendiri dan satu mata sememangnya bonus untuk Kuching City.

“Ianya sentiasa sukar menentang 10 pemain kerana mentaliti lawan akan berubah menjadi lebih bertahan dan mereka bermain di laman sendiri. Kami masih perlu perbaiki barisan hadapan tetapi kami perlu tumpukan perhatian pada pertahanan kerana KL pasukan yang pantas dalam serangan balas dan kami positif dengan satu mata ini,” jelasnya.

Adrijan Rudovic menjadi mangsa pertama kad merah hasil semakan VAR.

Kuching City juga turut menjadi saksi keberkesanan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam perlawanan ini apabila satu keputusan membatalkan gol mereka manakala satu lagi keputusan memastikan pemain lawan menerima kad merah atas kekasaran yang dilakukan.

Keputusan positif ini membuatkan Aidil lebih bersemangat dan bersedia untuk menghadapi perlawanan kedua bertemu Sri Pahang FC di Kuching dan dia akan menilai keadaan pemainnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan siapa bakal diturunkan nanti.