AKSI Piala Belia 2024 antara Melaka FA dan Sri Pahang FC dicemari dengan insiden pergaduhan membabitkan pemain daripada kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama.
Menerusi video yang tular di Facebook Melaka United Media, pergaduhan itu dilihat bermula daripada ketidakpuasan hati daripada pemain Sri Pahang FC, Nur Aiman Syahmi yang mengatakan sesuatu kepada beberapa pemain Melaka FA, Alif Farizuan dan Amran Shah
Amran kemudian menolak Aiman sehingga terjatuh sekaligus menyebabkan pemain-pemain Sri Pahang FC dan Melaka FA datang untuk meleraikan keadaan.
Penjaga gol Melaka FA, Maliq Farheem turut datang ke tepi padang untuk membantu meleraikan keadaan yang semakin tegang ketika itu namun beliau pula menjadi mangsa pergaduhan apabila pemain simpanan Sri Pahang FC, Adam Syaqir Barzu meluru kepadanya sebelum menendang dari belakang.
Tindakan Adam berjaya dikesan oleh pengadil perlawanan, Muhammad Faiz Mohd Dali dan Adam Syaqir Barzu dikenakan kad merah atas tindakan ‘tidak bermoral’ itu.
Amran Shah dan Nur Aiman Syahmi juga turut dikenakan kad kuning atas pergaduhan yang tidak sepatutnya berlaku.
Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh pihak pegawai dan pemain kedua-dua belah pasukan dan aksi Piala Belia dapat diteruskan tanpa apa-apa insiden yang berlaku.
Dalam perlawanan itu, Melaka FA gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Sri Pahang FC dalam aksi Kumpulan A Piala Belia 2024.
Keputusan menentang Sri Pahang menyaksikan Melaka FA melebarkan rekod kekalahan dalam kesemua empat perlawanan dan kini pasukan itu berada di tangga tercorot Kumpulan A tanpa sebarang mata.