SKUAD hoki dalam dewan wanita membuka kempen Kejohanan Hoki Piala Asia Dalam Dewan Kumpulan A dengan langkah kanan apabila berjaya menumpaskan pasukan Vietnam 25-0 dalam aksi yang berlangsung di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, pada Isnin.

Dengan kejayaan yang diperoleh, ketua jurulatih pasukan negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi memberi pujian terhadap barisan pemain yang gigih membuktikan kualiti serta bakat masing-masing, sejurus berusaha untuk mendapatkan jaringan yang banyak pada aksi yang penting itu.

“Permainan berdisiplin yang baik ditunjukkan oleh setiap pemain. Jaringan yang besar penting untuk pasukan kita, terutamanya dalam aksi peringkat kumpulan kerana jaringan gol akan memainkan peranan. Pemain juga sedar tentang jaringan penting dalam perlawanan ini.

“Setiap peluang yang dimiliki berjaya diambil. Tetapi masih lagi ada beberapa kesilapan yang dilakukan namun pemain dapat atasi dengan baik.

Keputusan rasmi antara Malaysia dan Vietnam.

“Kita gunakan perlawanan pertama ini untuk bersedia menghadapi perlawanan kedua. Kesilapan-kesilapan mudah akan diperbaiki pada perlawanan kedua nanti kerana kita tidak boleh beri peluang kepada Oman petang ini. Kita tidak akan ambil mudah pada petang ini. Kita perlu menang untuk menaikkan moral setiap pemain,” katanya selepas tamat perlawanan pertama.

Berdasarkan perlawanan pertama bertemu Thailand, dapat dilihat bahawa Malaysia masih berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang apabila mendahului saingan, sekali gus membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk bermain dan mendapatkan jaringan besar.

Malaysia akan turun dalam satu lagi perlawanan di sebelah petang ini menentang Oman bagi memburu kemenangan kedua pada Kejohanan Hoki Piala Asia.