KEJOHANAN Bola Keranjang Kebangsaan Bawah 17 tahun (B-17) 2024 mendapat sambutan luar biasa, sekali gus menerbitkan rasa gembira dan lega kepada Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), berikutan banyak penyertaan di peringkat akar umbi.
Timbalan Setiausaha MABA, Sim Sin Heng berkata, penyertaan kategori lelaki mencecah had iaitu 20 pasukan manakala kategori wanita pula disaingi 15 pasukan.
Melihatkan penyertaan banyak pasukan, Sin Heng yakin kualiti pertandingan akan turut meningkat kerana lebih kompetitif dan menguji daya tahan pemain.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada pemain remaja yang berbakat dan berkualiti yang mungkin boleh dicadangkan untuk pemilihan pemain ke Sukan Sea di Bangkok tahun hadapan.
“Biasanya usia di bawah 17 tahun ke bawah, belum sampai ke tahap yang tinggi lagi. Tapi kalau ada kita akan ambil mereka. Kalau ada… siapa tahu. Kejohanan belum lagi bermula, jangan pula saya yang kata tak boleh… tak boleh begitu.
“Kita kena sentiasa ada kemungkinan itu, saya sangat positif dan mahu mereka katakan (dalam diri) saya boleh buat atau saya akan tunjukkan… tunjukkan kepada saya dan saya akan lihat mereka daripada kejohanan ini,” kata Sin Heng kepada media selepas majlis undian kejohanan.
Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Bawah 17 tahun (B-17) 2024 dijadual berlangsung dari 25 Mei hingga 2 Jun ini di Stadium MABA, Kuala Lumpur.
Sin Heng berkata, edisi ke-58 kejohanan itu dipercayai mendapat sambutan hangat selepas negara sudah melepasi fasa pandemik Covid-19.
“Kali ini sebanyak 23 pasukan mendaftar untuk bertanding tetapi malangnya kita hanya boleh menerima 20 pasukan. Atas sebab itu, kita mengadakan pusingan kelayakan tiga hari lalu dan empat pasukan layak untuk bertanding bagi kategori lelaki.
“Bagi pasukan wanita pula, seramai 15 pasukan akan mengambil bahagian berbanding tahun lalu dan jumlah penyertaan turut meningkat. Bila ada penambahan, mutu perlawanan akan naik. Kita cukup gembira dalam dua hingga tiga tahun ini ramai pasukan yang ingin bertanding terutama selepas sebelum ini ramai terkesan disebabkan COVID-19,” katanya.