KETUA jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner mengakui Red Giants kurang bernasib baik dan malam ini bukanlah malam mereka.
Dua gol awal Harimau Selatan juga jelas menjatuhkan moral pemain untuk beraksi dengan baik bagi memberikan saingan kepada pasukan dari selatan tanah air itu.
Dia akui berasa kecewa kerana para pemainnya gagal mempamerkan aksi yang diarahkannya serta menegaskan kelonggaran tersebut dihukum pasukan lawan dengan kemenangan besar 5-1.
“Kita sangat mahukan untuk menang tetapi kita menjangkakan perlawanan yang sukar. Moral pemain juga jatuh selepas ketinggalan 0-2 dan malam ini bukanlah persembahan terbaik kami.
“Saya sangat kecewa, sepatutnya Selangor memberi tekanan, tetapi lain pula yang jadi pada malam ini,” katanya semasa sidang media selepas perlawanan.
Ketika ditanya mengenai sebab tidak mengeluarkan Khairulazhan di posisi penjaga gol, dia fikir ianya tidak perlu kerana ia adalah kesilapan seluruh pasukan.
Bagaimanapun, dia berkata ia adalah asam garam permainan dan harus bangkit pada perlawanan seterusnya bertemu Sabah FC.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana bagi saya semua melakukan kesilapan.
“Kita harus bangkit untuk perlawanan seterusnya. Kita baharu saja gembira selepas menewaskan Sarawak United, tetapi kita harus menerima kekalahan yang pahit ini,” jelasnya.