SKUAD muda Selangor FC III terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC III 2-1 dalam saingan kumpulan B Piala Presiden petang Rabu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium UM Arena dengan keadaan cuaca yang panas sedikit sebanyak menggangu rentak permainan kedua-dua buah pasukan.
Pasukan muda The Red Giants dilihat lebih bergelut di separuh masa pertama, dengan memperlihatkan KDN FC lebih banyak melakukan percubaan bahaya.
Skuad muda Kijang Emas mendahului permainan pada minit ke-45 apabila Muhammad Aliff Farhan berjaya menjaringkan gol hasil sepakan penalti selepas bola terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Selangor.
Skuad kendalian Firdaus Tan Aziz memperkemaskan permainan mereka di separuh masa kedua dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Mohamad Zamirul Hakim pada minit ke-47 selepas serangan balas dilakukan oleh pasukan Selangor.
Tergamam dengan jaringan itu, KDN FC melakukan beberapa siri percubaan bahaya terhadap pintu gawang Selangor namun gagal menemui sebarang jaringan.
Beberapa tackle bahaya dilakukan oleh pemain Kijang Emas terhadap pemain Selangor namun pengadil perlawanan tidak melayangkan sebarang kad, sekaligus mencetuskan rasa tidak puas hati oleh jurulatih Selangor FC B-20 itu.
The Red Giants berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 hasil tandukan pemain yang baru sahaja dibawa masuk, Aliff Aiman Mohamad dari sepakan percuma.
Ketua jurulatih Selangor FC B-20, Firdaus Tan Aziz ketika ditemui selepas perlawanan berkata, faktor cuaca yang panas antara punca mengapa pasukannya bergelut.
“Pada pandangan saya kita bermain dengan baik, cumanya cuaca yang sangat panas pada separuh masa pertama jadi pemain saya tak boleh nak bermain seperti kebiasaannya.
“Kami kumpul semula pada separuh masa untuk mengubah sedikit taktikal dan kami dapat mengejar semula gol dua gol dan kami bermain dengan sangat baik pada separuh masa kedua,” katanya.
Dengan keputusan ini, Selangor FC mendahului carta kumpulan B Piala Presiden dengan 10 mata selepas mencatat tiga kemenangan dan satu seri. Mereka akan menghadapi Sri Pahang FC pada perlawanan seterusnya di Muadzam Shah.