MUNCUL sebagai pilihan utama kejohanan, pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak ada alasan untuk melepaskan kejuaraan pada kejohanan badminton Masters Malaysia 2024 yang akan membuka saingan Selasa depan.
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mencabar gandingan itu menggandakan usaha meraih gelaran kali pertama, selepas kali terakhir dilakukan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017, ketika kejohanan digelar GP Gold.
Menurut Nova, selaku pilihan pertama kejohanan dan tanpa kehadiran pasangan utama dunia, Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking kesembilan dunia seharusnya memanfaatkan peluang untuk muncul juara.
Katanya, kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 itu, menjadi medan menguji kekuatan mental Tang Jie-Ee Wei yang dalam persiapan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan sepatutnya gandingan terbabit menyerlahkan potensi mereka untuk menjadi pencabar utama di temasya terbesar dunia itu.
“Kedudukan selaku pilihan pertama, seharusnya mereka manfaatkan peluang ini (juara). Ini adalah ujian menguji kekuatan mental mereka sebelum Olimpik.
“Tidak mudah… apatah lagi bermain di laman sendiri. Nampak macam boleh tetapi kadang-kadang apabila tidak dapat bermain dengan baik, ia boleh membuatkan mereka gementar dan beri kesan kepada permainan mereka.
“Jadi, ini ujian paling berat untuk mereka sebelum ke Olimpik dan saya harap boleh atasi ini,” kata Nova, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama pasangannya, Liliyana Natsri.
Tang Jie-Ee Wei dijangka membuka tirai saingan Masters Malaysia menentang pasangan ke-46 dunia dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong di pusingan pertama.
Tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dalam pertarungan tiga set.
Selain memburu gelaran, kejohanan Masters Malaysia menjadi medan untuk anak didik Nova itu mempamerkan perwatakan positif dalam gelanggang.
“Mereka mendapat tempoh latihan yang panjang tanpa perlu menyertai kejohanan berpasukan (Piala Thomas dan Uber), malah dibantu beregu lelaki dalam latihan.
“Saya mahu tengok perwatakan mereka dalam gelanggang. Kadang-kadang apabila mereka sudah mendahului dan lawan mula mengejar, mereka hilang fokus dan tidak boleh bermain.
“Jadi, itu yang saya mahu tengok, adakah mereka masih seperti itu atau ada sudah ada perubahan,” katanya.