JURULATIH Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu PSM Makassar dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata mereka merubah sistem permainan tetapi hanya dapat mengadaptasinya pada separuh masa kedua dan sememangnya menjangkakan corak permainan yang kompak daripada lawan.

Dia juga optimis KL City masih mampu untuk layak ke pusingan berikutnya dan menganggap ketiga-tiga pasukan adalah bagus dan ini baik untuk para penyokong.

“Kami menukar sistem permainan tetapi kami gagal menyesuaikan diri pada babak pertama. Hanya pada babak kedua kami bertambah baik dan hampir membawa pulang tiga mata namun keputusan seri ini adalah adil untuk kedua-dua pasukan dan ianya menarik buat penyokong.

“Semestinya saya kecewa tidak mencatat kemenangan tetapi kami juga tidak dibolosi. Pertahanan kami bermain sama seperti final Piala Malaysia tetapi sebaliknya buat penyerang kami dan atas sebab itulah kami menandatangani penyerang baharu.

“Segalanya masih terbuka buat ketiga-tiga pasukan untuk layak ke pusingan berikutnya. Untuk perlawanan malam ini, PSM tidak membenarkan kami bermain permainan kami. Mereka juga menukar sistem tetapi saya bernasib baik kerana pernah melatih mereka jadi saya tahu cara mengawa mereka berdasarkan senarai pemain sebelum perlawanan,” kata Hodak pada sidang media selepas perlawanan.

Ditanya mengapa dia memilih untuk bermain dengan tiga pertahanan berbanding kebiasaan empat, Hodak mengatakan kerana PSM bermain menerusi sayap dan mengerumuni barisan tenang.

“Kami bermain dengan tiga pertahanan kerana lawan bermain dengan sistem sayap dan mereka memadatkan barisan tengah. Oleh itu saya juga perlu memadatkan barisan tengah dan akhirnya masing-masing mendapat satu mata.

Kuala Lumpur City FC akan berehat selama seminggu sebelum bertemu wakil Singapura, Tampines Rovers dalam aksi penentuan siapakah yang bakal layak ke peringkat kalah mati Zon Asean.