SKUAD Sabah FC mahu memastikan isu penyudah yang tumpul dapat diselesaikan menjelang aksi kedua Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.
Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee berkata dalam beberapa sesi latihan lalu, tumpuan diberikan kepada bagaimana untuk menyelesaikan isu ini kerana ianya menjadi antara punca Sabah FC sekadar mencatat keputusan seri ketika perlawanan pertama menentang Penang FC di Stadium Likas Ahad lalu.
Kim Swee menjelaskan tumpuan Sabah FC kali ini adalah bagaimana pemain dapat memastikan gol dapat dicipta sekiranya mereka ingin mencatat kemenangan sekali gus memberikan motivasi kepada pasukan.
“Sasaran kita adalah ingin beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan apa lagi untuk meraih tiga mata dalam perlawanan ini. Apa yang lebih penting di sini adalah semua pemain perlu mengekalkan fokus dengan apa juga corak permainan yang diarahkan.
“Kita menganggap perlawanan ini sangat penting untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan sekali gus memastikan pulang dengan satu keputusan yang sangat positif,” katanya.
Menyentuh berkaitan persiapan pasukan, Kim Swee menyatakan kekalahan tipis KDN kepada Sri Pahang FC bakal menjadikan perlawanan ini satu perlawanan yang cukup sengit buat anak-anak buahnya.
“Keputusan tersebut membuktikan Kelantan Darul Naim bukan lagi seperti pasukan yang sudah kita ketahui sebelum ini dan tugas kami akan lebih mencabar kerana sudah tentu mereka ingin mempamerkan mutu persembahan yang bertenaga untuk mendapatkan keputusan positif.
“Kita akan cuba mendapatkan kemenangan pertama di tempat lawan sekali gus menyuntik semangat untuk menghadapi perlawanan akan datang,” katanya.
Musim lalu, Sabah bertemu KDN sebanyak tiga kali dan memenangi ketiga-tiga pertemuan dalam Liga Super dan Piala FA namun semua itu adalah sejarah dan kini pertembungan sebenar akan berlangsung.