KEMALANGAN yang menimpa seorang atlet kayak baru-baru ini telah menjadi bualan umum, apatah lagi apabila Siti Nurul Masyitah Md Elias disahkan mengalami kecederaan yang agak serius.
Masyitah juga dijangka akan melakukan pembedahan plastik (plastic surgery) untuk menutup kesan luka yang teruk di bahagian belakang badannya, akibat diseret lebih daripada 600 meter dari motosikalnya.
Menurut abang kandung, Muhamad Syafiq berkongsi pandangan daripada pakar pembedahan plastik bahawa kemungkinan Masyitah akan menggunakan kulit ‘skin allograft‘ dari Belgium, andai kata kulit yang sedia ada tidak mencukupi untuk ditampal di bahagian sepatutnya.
“Pakar plastic surgery kata, Masyitah akan masuk ke bilik bedah petang ini untuk letak ubat supaya dapat naikkan lagi daging di bahagian tumit Masyitah.
“Buat masa ini, doktor turut bercadang untuk ambil kulit adik Masyitah di bahagian peha dan tampal pada luka bahagian belakang badan. Tetapi akan datang, jika kulit tidak mencukupi, doktor mungkin akan buat keputusan untuk ambil kulit dari Belgium, sama seperti Faisal Halim.
“Jika itu yang terbaik, saya sebagai abang akan menurutinya. Saya hanya mahu kesembuhan segera buat adik saya,” ujar Syafiq kepada FLASH SUKAN pada Khamis.
Skin allograft atau tampalan kulit yang diimport dari Belgium seperti Faisal Halim sebelum ini, dianggar bernilai lebih RM30,000.
Hasil semakan dari Internet, skin allograft adalah prosedur pemindahan kulit daripada penderma kepada penerima. Dalam konteks perubatan, ‘allograft‘ merujuk kepada tisu atau organ yang dipindahkan daripada individu lain yang sama spesies, tetapi bukan kembar seiras.
Skin allograft biasanya digunakan dalam rawatan luka bakar yang teruk, ulser kulit, atau kecederaan lain di mana kawasan kulit yang luas perlu diganti atau ditutup sementara.
Seperti kes Faisal Halim sebelum ini, difahamkan bahawa proses tampalan skin allograft ke badannya berjalan dengan lancar. Faisal juga kini telah menunjukkan tanda positif untuk segera pulih selepas menjalani beberapa pembedahan sebelumnya.