KONFEDERASI Sepak Bola Asia (AFC) telah menyatakan sokongannya terhadap cadangan daripada Persekutuan Bola Sepak Palestin (PFA) agar Fifa menggantung bola sepak Israel.
Presiden AFC, Salman bin Ebrahim Al Khalifa, dalam kongres tahunan yang berlangsung di Bangkok, Thailand, hari ini menyuarakan sokongannya terhadap usul PFA menjelang kongres Fifa pada Jumaat.
“AFC sekuat anggotanya dan apabila salah satu menderita, semua anggota lainnya turut terkesan. AFC berdiri bersama FA Palestin, dan kami bersama mereka dalam mencari penyelesaian yang efektif berkenaan bola sepak terhadap aduan yang diajukan FA Palestin dalam cadangan mereka.
“Adalah tugas kami untuk menyokong Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) untuk mencapai resolusi yang cepat dan efektif mengikut peraturan, regulasi, dan statut AFC dan Fifa,” kata Salman dipetik dari Reuters.
Cadangan untuk membekukan bola sepak Israel telah dikemukakan oleh PFA kepada Fifa pada 11 Mac lalu dan akan dibahaskan dalam Kongres ke-73 Fifa di Bangkok esok.
Cadangan ini dimasukkan ke dalam agenda Kongres selepas mendapat sokongan daripada Persekutuan Bola Sepak Algeria, Jordan, Syria dan Yaman.
Delegasi AFC berdiam selama satu minit untuk mengenang para korban di Gaza dan memperlihatkan video yang dihasilkan oleh Persatuan Palestin yang menyoroti kehancuran yang disebabkan oleh keganasan Israel.
Presiden Fifa, Gianni Infantino, yang hadir dalam Kongres AFC, menyinggung isu ini dalam ucapannya. Infantino menyeru untuk bersatu dalam usaha menangani masalah baik di dalam mahupun di luar sukan.
“Kita semua menderita dengan apa yang berlaku di Palestin. Kami berdoa untuk ibu yang kehilangan anak dan kami berdoa untuk ibu yang kehilangan anak di mana-mana di dunia.
“Apa yang boleh kita lakukan ialah menunjukkan perpaduan kerana bola sepak menyatukan semua orang,” kata Infantino.