SKUAD futsal Pahang Rangers kini semakin bersedia berbanding permulaan musim selepas rehat yang cukup panjang memberikan mereka peluang untuk berlatih dan mengenali corak permainan antara satu sama lain.
Pengendali Rangers, Gerard Casas mengakui bukan mudah untuknya membentuk gandingan mantap selepas separuh daripada pemainnya adalah pemain baharu dan tempoh rehat panjang ini digunakan sebaiknya untuk mencari keserasian.
Namun kesemua pemainnya sudah bersedia untuk menghadapi Kuala Lumpur City dan mahu para penyokong hadir beramai-ramai kerana mereka sudah tidak sabar untuk merasai malam gemilang futsal di Stadium Sukpa.
“Latihan sangat baik dan kini semua lebih bersedia berbanding awal musim dan hanya fokus kepada model permainan kami. Saya harap segala kerja keras yang dilakukan semua pemain dapat berikan keputusan baik dan kami berkembang sebagai satu pasukan.
“Aksi pada Sabtu akan jadi satu perlawanan yang menarik selepas berehat dua bulan tanpa perlawanan kompetitif. Kami semua tidak sabar dan harap ramai hadir ke Sukpa untuk menyokong.
“Kami akan buat segalanya untuk tiga mata kerana KL City sudah tentu mahukan mata selepas bermula tidak baik dan kami perlu berhati-hati dengan kekal fokus sepanjang permainan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Sepanjang tempoh rehat, Pahang Rangers mengadakan siri perlawanan persahabatan menentang pasukan Bintang Timur Surabaya dari Indonesia, Thai Son Bac dari Vietnam dan Sabah untuk memastikan kecergasan pemain berada pada tahap optimum.
Selepas berakhir empat perlawanan, Pahang Rangers kini di tangga ketiga MPFL dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri dan mahu menjadikan KL City mangsa seterusnya sebelum berhadapan Johor Darul Ta’zim pada 25 Mei nanti.