KEMARAAN ke separuh akhir Terbuka Thailand, menimbulkan rasa yakin dalam diri pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia.

Jaguh badminton negara itu berasakan ada perkembangan positif dalam permainannya, selepas berjaya menyingkir pemain ranking ke-19 dari China, Lu Guang Zu dalam pertarungan tiga set 21-13, 16-21, 21-18 pada aksi suku akhir di Stadium Nimibutr di Bangkok.

Ini adalah kali pertama Zii Jia berjaya mara ke separuh akhir dalam saingan musim ini selepas empat kali terkandas di peringkat suku akhir.

Bekas juara Seluruh England itu, berkata dia gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan badi terkandas di suku akhir dan menganggap ia satu petanda yang positif dalam usahanya kembali berada pada tahap prestasi terbaiknya sebelum Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ini adalah satu ‘breakthrough’ untuk saya. Saya tidak boleh cakap saya sudah dapat prestasi terbaik saya 100 peratus, tetapi ia satu perkembangan yang positif,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Kemenangan ke atas Guang Zu turut menyaksikan Zii Jia melunaskan dendamnya selepas tewas di tangan lawan berkenaan di pusingan pertama Terbuka Malaysia pada Januari lalu.

“Sudah tentu saya turun dalam perlawanan hari ini untuk melunaskan dendam ke atas Guang Zu. Namun, keutamaan saya dalam kejohanan yang saya sertai adalah untuk saya mencari prestasi terbaik saya sebelum ke Olimpik,” kata bekas juara Asia itu.

Zii Jia berdepan ujian getir untuk melangkah ke pentas final apabila bakal bertemu pemenang perlawanan antara naib juara dunia, Kodai Naraoka dari Jepun dengan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen pada aksi separuh akhir, esok.

“Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang sukar tidak kira saya berdepan Kodai ataupun Tien Chen.

“Kami semua sudah mengenali corak permainan antara satu sama lain. Saya perlu kekal fokus dan tampil dengan prestasi terbaik. Saya teruja untuk beraksi dalam separuh akhir pertama saya tahun ini,” katanya.