SELEPAS skuad hoki dalam dewan wanita muncul pemenang tempat ketiga Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan di Chongburi, Thailand, giliran skuad lelaki kebangsaan bawa misi besar mempertahan kejuaraan, sekali gus menempah slot ke Piala Dunia 2025.
Kejohanan Piala Hoki Asia Dalam Dewan Lelaki berlangsung di Taldykorgan, Kazakhstan akan membuka tirai saingan bermula 21 Mei ini.
Sebagai persiapan, skuad negara membariskan 12 pemain yang merangkumi sembilan pemain dalam skuad juara 2022 dan tiga pemain lagi Muhammad Aminuddin Mohd Zain (pertahanan), Shazril Irwan Nazli (pertahanan) dan Abdul Khaliq Hamirin (penyerang).
Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Shurizan Mansor berkata, format pertandingan kali ini sedikit berbeza namun berharap pasukan dapat mengekalkan momentum untuk mempertahankan gelaran.
“Persaingan kali ini lebih mencabar kerana format digunakan agak berlainan dengan johan dan naib johan kedua-dua kumpulan akan bermain satu lagi pusingan bagi menentukan pasukan yang akan layak ke final dan dua pasukan ke final itu akan ke Piala Dunia 2025 secara automatik.
“Pasukan kali ini memiliki barisan pemain terbaik dan saya berharap komitmen yang tinggi akan diberikan pemain selain berjuang bermati-matian demi Malaysia.
“Walaupun kumpulan kami dihuni oleh tuan rumah, Kazakhstan dan pencabar terdekat Indonesia, sasaran pertama pasukan adalah kami perlu melepasi pusingan pertama dengan muncul selaku dua pasukan terbaik. Kemudian, kami akan melihat sasaran yang kedua apabila memasuki pusingan seterusnya.
“Sekiranya Malaysia berjaya melangkah ke final ia akan menjadi sejarah untuk sukan ini, sekali gus kali pertama Malaysia ke Piala Dunia dan pastinya akan membuka ruang untuk lebih banyak perhatian serta bantuan diberikan kepada pasukan,” kata Shurizan dalam satu kenyataan dikeluarkan KHM.
Menerusi undian awal yang dijalankan Persekutuan Hoki Asia (AHF), Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Kazakhstan, Oman dan Indonesia sementara Kumpulan A menyaksikan persaingan antara Iran, Thailand, Singapura, dan Tajikistan.
Untuk rekod, pada edisi 2022 di Bangkok, Thailand, pasukan lelaki muncul juara apabila menewaskan Iran 3-2 menerusi penentuan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam tempoh sebenar permainan.
Jadual Perlawanan
Kumpulan B
21 Mei 2024
Malaysia mln Oman, 3ptg
22 Mei 2024
Malaysia mln Kazakhstan, 2.45ptg
Indonesia mln Malaysia, 7.45ptg
* Masa Perlawanan Adalah Waktu Malaysia