IMPIAN jutaan rakyat Malaysia untuk menikmati siaran langsung Piala Eropah 2024 semakin hampir direalisasikan.
Menurut sumber dari penaja utama, satu pengumuman rasmi mengenai hak tajaan siaran langsung Piala Eropah 2024 akan dibuat esok atau selewatnya Isnin.
“Selepas beberapa siri mesyuarat yang dijalankan, termasuk mesyuarat akhir pengurusan tertinggi syarikar yang berlangsung hari ini (Sabtu), segala dokumen dan kertas kerja berkaitan telah disiapkan.
“Dokumen-dokumen ini akan dihantar ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) walaupun hari Sabtu atau Ahad.
“Keputusan untuk menghantar dokumen tanpa menunggu hari bekerja biasa adalah kerana kekangan masa yang dihadapi,” jelas sumber itu kepada FLASH SUKAN.
RTM akan memainkan peranan penting dalam penyiaran kejohanan ini, dan pihak penaja utama berkomunikasi secara langsung dengan RTM untuk memastikan semua urusan selesai mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pengumuman rasmi mengenai penajaan akan dikeluarkan melalui kenyataan media syarikat kami yang dijangka pada hari esok atau hari Isnin,” kata sumber syarikat ini.
Sumber juga memaklumkan kenyatan media dengan butiran lengkap mengenai penajaan tersebut.
Dengan pengumuman ini, peminat bola sepak di seluruh negara boleh menantikan siaran langsung Piala Eropah 2024 dengan sokongan penuh dari RTM dan penaja utama.
Saingan Euro 2024 dijangka berlansgung sengit membabitkan 24 pasukan bertanding termasuk juara bertahan Itali akan mempertahankan mahkota kejuaraan dimenangi edisi lalu.
Selain itu pasukan bertaraf bintang England, Perancis, Belanda, Belgium dan banyak lagi pasukan handalan Eropah bakal mempertaruhkan bintang bola sepak masing-masing bagi memburu status sebagai Raja Eropah.
Sebanyak 42 aksi peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati dengan membabitkan 57 aksi secara keseluruhan bakal disajikan pada edisi kali ini.