PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio tidak bimbang dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya tetapi yakin skuadnya akan menjadi lebih baik sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini.

Ini selepas JDT dilihat sedikit bergelut meskipun mencatatkan kemenangan 3-1 keatas Negeri Sembilan FC dalam aksi pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Bidoglio juga mengakui dia perlu melakukan beberapa perubahan pada perlawanan seterusnya bagi memastikan momentum kemenangan ini dapat dikekalkan sambil melakukan sistem penggiliran pemain.

Bidoglio ketika sidang media selepas perlawanan

“Ianya satu perlawanan yang sukar kerana lawan bermain secara kompak dan kami perlu lebih sabar untuk mencari ruang terbuka tetapi seperti biasa perlawanan pertama sering sukar tetapi saya percaya pasukan akan bertambah baik selepas ini.

“Kami perlu mengubah cara permainan tetapi perlawanan hari ini sangat sukar dan kami perlu bekerja keras tentang ‘set piece’ dan para pemain juga faham tugas mereka kerana musim masih panjang dan kami juga akan menggilirkan pemain sepanjang musim ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih asal Venezuela itu juga menyatakan dia tidak dapat menggunakan khidmat Pemain Paling Bernilai (MVP), Arif Aiman Hanapi kerana dia mengalami kecederaan selain mahu pemain tahu mereka tidak boleh bergantung kepada individu.

Bergson meraikan jaringannya bersama Heberty Fernandes

“Arif mempunyai sedikit masalah kecederaan dan kami merehatkannya dan perlu melindunginya kerana musim masih panjang serta perlu buktikan kami mampu bermain sebagai satu pasukan dan tidak bergantung pada individu,” jelasnya.

Harimau Selatan berjaya membenam cabaran Negeri Sembilan menerusi dua jaringan penyerang utamanya, Bergson Da Silva pada babak pertama sebelum Jordi Amat melengkapkan petang gemilang JDT di hadapan hampir 20,000 penyokong.