GOH Jin Wei yakin, dirinya masih ada kekuatan untuk melakar kejutan di setiap kejohanan disertai.

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang sudah mencecah usia 24 tahun itu berkata, dia sudah matang untuk menangani tanggapan negatif yang selama ini memberi kesan kepada dirinya.

Justeru, menjelang saingan Masters Malaysia bermula Selasa ini, Jin Wei mengakui cukup bersemangat untuk menampilkan aksi terbaik di Axiata Arena.

“Ini semua kerana saya masih lagi ada kepercayaan kepada diri sendiri dan tetap akan berjuang habis-habisan walau apa pun keputusan yang saya raih sebelum ini,” kata perseorangan wanita nombor satu negara itu.

Pemain yang pernah mencipta sejarah sebagai perseorangan wanita termuda merangkul kejuaraan kebangsaan pada usia 15 tahun itu berkata, dia tetap mempunyai peluang yang tinggi setiap kali mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan dan kunci kekuatannya adalah tidak mudah menyerah kalah.

“Dulu mungkin saya rasa terkesan dengan apa diperkatakan orang lain, tetapi selepas menjalani pembedahan (usus) saya mengharunginya seorang diri, hampir setiap waktu saya menyendiri, namun lama-kelamaan saya mampu menyesuaikan keadaan.

Goh Jin wei mengakui, Lee Zii Jia, Soh Wooi Yik dan Lai Pei Jing, teman setiannya.

“Tiga rakan baik saya (Lee Zii Jia, Soh Wooi Yik dan Lai Pei Jing) banyak memberi motivasi. Kami berdepan masalah yang berbeza. Mungkin Pei Jing lebih tua daripada kami, namun dia banyak berkongsi pelbagai masalah dan situasi,” katanya.

Jin Wei yang juga dua kali meraih kejuaraan dunia remaja, mengakui ketiga-tiga individu itu, menjadi motivasi baginya untuk terus beraksi sehingga sekarang.

“Ada sahaja nasihat dan kesan dari psikologi apabila mereka sentiasa memberikan saya motivasi. Jadi saya tidak sedih apabila melihat mereka merangkul kejuaraan, saya hanya kecewa dengan diri saya sendiri, dalam masa sama bangga dengan keputusan mereka raih.

“Apa pun Masters Malaysia adalah platform terbaik buat saya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024. Saya akan fokus kepada permainan saya dan mempersiapkan diri sebaik mungkin,” katanya.

Jin Wei akan berdepan dengan pemain dari peringkat kelayakan pada pusingan pertama Masters Malaysia yang akan membuka tirai Selasa ini.