DUA siasatan membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disahkan tidak mempunyai sebarang isu rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan.

Siasatan agensi penguatkuasa itu adalah terhadap isu projek pembinaan National Training Center (NTC) di Putrajaya yang dianggar bernilai RM25 juta; dan isu tohmahan kepimpinan dan pengurusan FAM sewaktu penganjuran kongres FAM ke-60.

SPRM sudah menjalankan siasatan rapi berhubung kedua-dua isu yang dibangkitkan, sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan susulan.

“SPRM menjalankan siasatan ke atas isu rasuah di FAM yang membabitkan pelaksanaan projek NTC di Putrjaya bernilai hampir RM25 juta. Kos pembangunan projek ini menggunakan dana yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Selain itu, SPRM juga menyiasat tohmahan dan dakwaan rasuah dalam penganjuran kongres FAM yang ke-60. Hasil siasatan terhadap dua isu ini sudah diselesaikan oleh SPRM dan dirujuk kepada TPR dan berpuas hati dengan hasil siasatan berkenaan serta memutuskan kes sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

“Tiada sebarang isu rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan dalam dua siasatan itu,” memetik laporan Berita Harian.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

SPRM sebelum ini sudah merakamkan keterangan 14 saksi dan membuat pemeriksaan ke atas 10 premis yang berkaitan dengan kedua-dua isu berkenaan, mengikut akta SPRM 2009.

Tiga syarikat yang dikemukakan kepada FIFA bermesyuarat pada 8 April lalu dan sudah melantik sebuah syarikat untuk melaksanakannya malah penyediaan dokumen perjanjian kontrak oleh FAM hasil daripada keputusan pemilihan yang dibuat sendiri oleh FIFA.