SERVIS ‘ace’ dan rejaman tajam Noraizat Nordin beregu (double) negara, berjaya melibas Jepun, pada aksi Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Beregu negara yang diwakili Noraizat dan Aidil Aiman Zawawi terlalu kuat untuk dicabar Jepun sekali gus meraih kemenangan pertama kumpulan A dengan keputusan 15-9, 15-3 dalam masa 38 minit.

Begitupun, Aidil Aiman nampak agak goyah di awal permainan sehingga diikat Jepun 4-4 pada set pertama, gara-gara gemuruh beraksi di hadapan kira-kira 1,000 penyokong tempatan.

Aidil Aiman mengakui gugup diawal permainan sebelum mendapat rentak dan mengawal situasi pada pertemuan beregu kumpulan A, antara Malaysia menentang Jepun.

“Syukur atas kemenangan ini, pada awal set pertama saya mencari rentak dengan suasana dewan sehingga Jepun dilihat mampu memberi saingan, namun kami kembali bangkit dengan kawalan bola dan rejam tajam yang ditampilkan oleh Noraizat.

“Ini bukan perlawanan yang mudah, tetapi dengan latihan yang cukup… Inilah hasilnya. Terima kasih kepada semua penyokong yang datang ke stadium bagi memberikan sokongan kepada kami,” kata Aidil Aiman.

Kemenangan Malaysia itu juga banyak disumbangkan kawalan bola yang baik oleh Aidil Aiman yang bertindak selaku pengumpan, manakala Noraizat atau pupular dengan gelaran ‘Ijat Bangau’ pula melakukan pelbagai variasi rejaman.

Rejaman dan servis Noraizat Nordin menyukarkan pemain Jepun mengembalikan bola.

Pada akhir set kedua, ketika Malaysia mendahului  jauh di depan, jurulatih beregu negara, Zulkarnain Arif membawa masuk Baihakki Aripin menggantikan Noraizat dan peluang itu tidak disia-siakan oleh perejam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

“Bagi saya, sistem kiraan mata baharu ini (sistem 15 mata dan giliran satu servis), kita kena bertahan dengan baik kerana permainan tidak lama, sekejap sahaja, tidak boleh lakukan kesilapan,” kata Aidil Aiman yang juga kapten skuad regu negara.

Dalam perlawanan kedua esok, Malaysia akan berdepan Brunei dan berdasarkan prestasi semasa, pemain negara dijangka tidak berdepan masalah untuk menumpaskan skuad yang dibimbing bekas jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad itu,

Menang ke atas Jepun, beregu negara hanyna perlu mencapai satu lagi kemenangan ke atas Brunei, esok untuk mengungguli kumpulan A.

Pada Sabtu, Jepun meraih kemenangan 15-13, 15-10 ke atas Brunei untuk mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke peringkat kalah mati, manakala anak buat Abdul Talib berdepan tugas sukar untuk menyekat Malaysia.

Sekiranya muncul juara Kumpulan A, skuad negara dijangka berdepan sama ada Korea Selatan atau Singapura (naib juara Kumpulan D yang turut dianggotai Thailand) di peringkat suku akhir yang akan berlangsung pada Selasa.

Terdahulu, Thailand yang diwakili Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut tidak perlu bermandi peluh untuk menumbangkan Korea Selatan 15-10, 15-6 untuk bergelar juara Kumpulan D, manakala perlawanan Singapura menentang Korea Selatan berlangsung esok.