PEMAIN sensasi negara, Faisal Abdul Halim menjalani pembedahan keempat hari ini dan dijangka akan keluar hospital pada minggu ini juga.

Namun, perkara ini perlu diteliti terlebih dahulu oleh pihak pakar kerana harus mempertimbangkan kondisi Faisal selepas selesai menjalani pembedahan terakhirnya pada Isnin.

Berita gembira ini telah dikongsi oleh ketua perubatan sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, bahawa tunjang pasukan The Red Giants itu kini dalam pembedahan ‘split skin grafting‘, iaitu prosedur terakhir sebelum Faisal diberi perlepasan untuk keluar hospital seawalnya minggu ini.

“Hari ini, Faisal sedang menjalani pembedahan keempat dan tidak silap pembedahan bermula jam sembilan pagi tadi. Untuk progress selanjutnya, kita kena tunggu dalam 48 hingga ke 72 jam untuk penilaian selepas pembedahan.

Muhammad Hazwan ketika ditemui pemberita di Shah Alam.

“Insya Allah ini pembedahan terakhir, dan keputusan untuk ‘discharge‘ lebih awal seperti yang dijangka itu, merujuk kepada keputusan pakar bedah dan juga keadaan Faisal selepas pembedahan hari ini.

“Tetapi selepas Faisal keluar, dia akan menjalani proses rehab dan lebih dipanggil sebagai ‘musculoskeletal rehabilitation‘, yang akan fokus terhadap prestasinya. Dengan ini, Faisal sendiri tak sabar untuk keluar,” ujar Hazwan ketika ditemui di perkarangan hospital di Shah Alam.

Terdahulu, Faisal dijangka keluar hospital dua minggu lagi dengan perkembangan terkini yang disampaikan oleh ketua perubatan sukan Selangor FC menjadi satu petanda positif bagi dirinya.

Bagaimanapun, keputusan selanjutnya masih dinantikan oleh pihak pakar selepas menilai kondisi Faisal dalam tempoh dua atau tiga hari selepas pembedahan selesai (yang dijangka petang ini).