PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui bahawa mereka enggan meletakkan harapan tinggi dalam saingan Masters Malaysia yang akan membuka tirai pada Selasa.
Perkara ini susulan kegagalan mereka dalam meraih gelaran Masters Thailand pada musim lalu, setelah strategi Malaysia dipatahkan oleh wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada perlawanan akhir Masters 2023.
Menurut Tang Jie, dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada musim ini, mereka enggan meletakkan satu sasaran besar sekali gus tidak mahu terlalu selesa dengan kedudukan semasa, sebaliknya hanya cuba mempamerkan momentum perlawanan yang terbaik.
“Menjadi tuan rumah tidak sama dengan tempat lain, suasananya lebih ceria dan sokongan lebih kuat. Harapannya, dengan sokongan peminat, kita dapat mendapatkan hasil yang baik kerana mereka datang untuk melihat pemain Malaysia menang.
“Kami akan cuba yang terbaik untuk mempamerkan aksi cemerlang buat tontonan rakyat Malaysia kerana bukan senang untuk mereka menonton perlawanan secara langsung,” kata Tang Jie yang ditemui selepas sesi ujian gelanggang di Axiata Arena pada Isnin.
Masters Malaysia akan diadakan selama enam hari, bermula 21 hingga 26 Mei 2024, dan menampilkan pemain-pemain terbaik dunia beraksi di kejohanan berprestij itu.
Sebagai rekod, kali terakhir wira beregu campuran Malaysia muncul sebagai juara di Kejohanan Masters adalah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada tahun 2017.