AKSI lincah yang diperagakan penyerang muda Jordan, Reziq Mohammed Saleh Bani Hani menjadi sebutan para penyokong The Red Giants selepas dimasukan di penghujung perlawanan ketika bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium MBPJ Sabtu lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu membuat debut pertamanya selepas menggantikan Yohandry Orozco pada minit ke-70 sekaligus mengubah corak permainan Selangor dan berjaya menghadirkan beberapa cubaan yang membahayakan gawang Kedah.
Bekas pemain kelab Al-Faisaly ini membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Nidzam Jamil, dengan menghasilkan gerakan cantik yang menjadi punca kepada gol tunggal perlawanan itu yang dijaringkan Aliff Haiqal Lau pada minit ke-84.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Reziq meluahkan rasa syukur dan teruja atas sumbangannya dalam penampilan pertama yang berjaya membantu Selangor mendapatkan tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim ini.
“Saya sangat gembira dengan pasukan ini, kami ibarat keluarga dan mereka menyambut saya seperti keluarga yang sudah lama disini dan sangat teruja dengan penyokong dan saya berharap mereka dapat datang setiap perlawanan kerana masih banyak yang saya ingin tunjukkan,” katanya.
Sementara itu bagi Nidzam, dia sangat gembira dengan sikap dan tempo yang ditampilkan oleh Reziq kerana baginya, budaya sokongan di negara ini sesuai dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh Reziq.
“Saya suka dengan tempo yang dia bagi, di negara ini apa sahaja tempo yang anda beri jikalau anda ke hadapan dan menyerang penyokong akan sentiasa menyokong di belakang anda.
“Jadi ini sangat penting juga kepada dia untuk faham budaya taktikal di sini dan sekali lagi saya sangat gembira dengan prestasi ini kerana dia berjaya menukar satu perkara iaitu tempo” jelasnya.
Selangor akan melayan kunjungan Negeri Sembilan FC pada aksi ketiga Liga Super pada 26 Mei dan aksi Reziq sekali lagi tentunya akan mendapat perhatian daripada para penyokong.